Featured Article

Friday, December 16, 2011

Indahnya sekuntum sakura




Comel tetapi menakutkan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada mereka yang masih tidak jemu berkunjung ke ruangan yang serba kekurangan ini. Tiada apa yang dapat diucapkan selain terima kasih kerana ruangan ini sekadar luahan hati yang banyak kekurangan. Syukur pada Ilahi kerana memberi diri ini kesempatan untuk terus merasai nikmat IMAN dan ISLAM seperti pembaca sekalian. Moga iman kita terus teguh walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.

Alhamdulillah kali ini terdetik untuk menulis berkenaan bunga. Apakah bunga yang saudara-saudari suka? Saya suka banyak bunga. Bunga mawar, bunga orkid, bunga anggerik, bunga teratai, bunga tulip dan macam-macam lagi. Tetapi tiada bunga yang paling dapat membuatkan hati ini jatuh cinta lebih daripada bunga sakura. Ya, saya sangat sukakan bunga sakura. Malangnya di Malaysia tiada. Ingin sekali terasa ingin berkunjung ke Korea Selatan mahupun Jepun untuk menyaksikan fenomena yang indah itu. (PERHATIAN kepada bekas PELAJAR Kolej Matrikulasi Pulau Pinang: ‘Lorong Bunga Sakura’ korang itu tidak dikira sebab tu bukan bunga sakura)

Indahnya pemandangan bunga sakura


Jadilah kamu seperti bunga mawar yang menguntum indah yang dipagari dengan duri” adalah antara perumpamaan yang sering dikaitkan dengan seorang wanita. Indah dipandang namun dilindungi dengan iman dan agama untuk mengelakkan tangan-tangan durjana memusnahkan keindahannya. Seorang wanita itu adalah perhiasan dunia dan tiada yang lebih indah selain wanita solehah.

Namun, lihatlah pada realiti dunia hari ini. Bilangan wanita solehah kian bertambah tetapi masih tidak dapat menandingi bilangan wanita yang telah tersalah arah. Bunga-bunga ini telah banyak yang tercalit kekotoran oleh tangan-tangan durjana, yang tiada lain di hati mereka selain memuaskan nafsu mereka. Hari ini (16 Disember 2011), dipaparkan dalam akhbar Metro yang seorang anak gadis yang baru berusia 19 tahun telah terjebak dengan dunia pergaulan bebas selama 4 TAHUN. Ya Allah, terkejutnya hati ini bila menatap berita muka depan itu. Alasannya kerana dia buta agama. Tidak pernah didik oleh kedua ibu bapanya tentang ilmu agama.

Muka depan akhbar Harian Metro 16 Disember


Lihat kembali kepada statistik kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi. Anda pasti terkejut. Itulah realiti golongan belia Malaysia. Dan penyumbang terbesar kepada statistic tersebut adalah di kalangan mereka yang beragama Islam. Benar kata sahabatku dahulu, golongan muda negara ini makin ramai yang tersesat arah. Terlalu ramai anak muda yang terleka dengan dunia hingga mengejar kepuasan nafsu dunia tanpa memikirkan masa depan mereka.

Ya, pasti ramai yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak mengajarkan anak-anak mereka tentang ilmu agama. Apabila ditanya kepada ibu bapa, ibu bapa akan menyalahkan para guru di sekolah kerana tidak mendidik anak-anak yang dihantar ke sekolah. Apabila menyalahkan guru, guru akan menyatakan itu bukan salah mereka kerana tugas mereka ialah mendidik subjek yang ditugaskan, bukan mendidik akhlah pelajar. Itu adalah tugas ibu bapa mereka.

Apabila ditanya kepada wanita, apa yang menyebabkan mereka jadi begini, apakah salah jika mereka menjawab “Kami jadi begini kerana lelaki. Lelaki-lelaki yang hanya tahu mengejar nafsu. Lelaki yang lemah imannya, yang kurang ilmunya”. Hati ini takut andai bila ditanya soalan begini kerana aku past tiada jawapan yang sesuai selain mengangguk setuju.

Ya Allah,
Andai satu hari nanti Kau izinkan aku menjadi seorang suami,
Izinkan aku menjadi suami yang soleh
Yang akan menyayangi isteriku,
Yang akan membimbing isteriku ke jalanMu
Yang akan bersamanya mencintaiMu

Ya Allah,
Andai satu hari nanti Kau izinkan aku menjadi seorang bapa,
Izinkan aku menjadi bapa yang menjadi idola anak-anakku
Yang akan mendidik mereka mengenaliMu
Yang akan tunduk kepadaMu
Yang mencintai kekasihMu

Aku bukanlah lelaki yang hebat, aku bukanlah lelaki yang berilmu,
Aku hanyalah lelaki yang membesar di tengah-tengah kemerosotan akhlak masyarakat
Namun janganlah Kau tarik nikmat yang telah Kau anugerahkan ini
Agar hatiku terus bertaut kepadaMu,
Agar hatiku terus tertaut dengan kekasihMu,
Agar hati ini terpaut dengan ayat-ayat cintaMu,
Agar hati ini jatuh cinta untuk berjemaah bertemu di rumahMu
Agar ini mekar dengan cinta di jalanMu

Akak saya pernah berkata, “Penulisan juga adalah salah satu cara kita berdakwah. Andai jika kita tidak cukup kuat untuk berdakwah berdepan, gunakanlah penulisan kamu…

Monday, November 21, 2011

jealousy is a gift


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang masih berterusan berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, jari-jemari ini menaipkan rasa syukur di hati kerana masih diberikan kesempatan untuk mencoret bicara hati di sini. Juga tak lupa, bersyukur kerana diberikan nikmat IMAN dan ISLAM, dua nikmat terbesar dalam hidup seorang MUSLIM. Seperti yang pernah diperingati dahulu, blog ini adalah luahan hati. Andai ada kesilapan, tegurlah. Kerana yang baik itu semua dariNya, yang kurang itu kerana kelemahan diri ini sendiri.

Kali ini terdetik untuk menulis bicara cemburu. Apabila bercakap soal cemburu, kebiasaannya orang akan menuduh yang wanita itu lebih cenderung untuk berasa cemburu. Malah, banyak juga kisah-kisah sejarah yang mencatatkan perasaan cemburu seorang wanita. Misalnya, perasaan cemburu isteri Rasulullah iaitu Aisyah kepada madu-madunya. Malahan, dicatat di dalam hadis yang Aisyah terlalu mencemburui Khadijah yang telah lama meninggal dunia apabila Rasulullah masih berterusan menyebut namanya.

Namun, janganlah dilupa bahawa lelaki juga mempunyai perasaan cemburu. Tidak percaya? Antara kisah-kisah cemburu seorang suami ang dicatat dalam sejarah:

Kisah 1 – Umar yang mencemburui isterinya
Umar al-Khattab pernah mencemburui isterinya yang pergi keluar ke masjid untuk solat berjemaah. Daripada riak wajahnya, isterinya tahu bahawa Umar cemburu. Lalu isterinya berkata “Andai kanda melarang, dinda tidak akan pergi.” Umar hanya diam sahaja kerana teringat pesan kekasih Allah yang bermaksud, “Janganlah kalian menghalang para wanita pergi ke masjid.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud)

Kisah 2- Rasulullah yang mencemburui Mariah al-Qibtiyya
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abdul Rahman Syamasah al-Mahri daripada Abdullah bin Umar, ketika Mariah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat keluarganya dari Mesir sering menziarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersama. Rasulullah pun berasa cemburu dan keluar dengan riak wajah yang berubah. Kemudiannya, baginda bertembung dengan Umar. Apabila Umar perasan yang Rasulullah memendam sesuatu, lantas ditanya kepada baginda. Lalu Rasulullah menjawab yang baginda cemburukan kerabat Mariah.

Umar lalu menghunus pedangnya dan mencari lelaki tersebut. Lelaki itu menyingkap keadaan zakarnya yang telah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya lalu kembali kepada Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah dating kepadaku dan melepaskan Mariah dan kerabatnya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Maka, lihatlah wahai dunia. Lelaki soleh juga boleh cemburu. Kerana cemburu itu sifat fitrah seorang manusia tanpa mengira jantina. Baik lelaki ataupun perempuan. Bukankah cemburu itu tanda sayang? Apabila menyayangi pasangan, pasti terbit rasa cemburu itu. Cemburu itu fitrah, namun janganlah cemburu buta dan melampau. Ia hanya akan menyakiti diri anda dan pasangan. Cemburu itu tidak salah, tetapi menjadi kesalahan apabila dilayan dengan emosi yang melulu.

Pernah terjadi di hadapanku sendiri yang mana melihat seorang kawan perempuanku sedang bermain bowling bersama teman lelakinya. Pada awal kuperhatikan, teman lelakinya begitu hebat bermain bowling kerana setiap balingannya akan menjatuhkan sekurang-kurangnya 7 pin. Namun, setelah aku menegur kawan perempuanku itu, kuperhatikan balingannya mula merosot, secara mendadak sehingga ada balingan yang memasuki longkang. Aku mula tertanya-tanya mengapa. Dan apabila aku pulang ke kampus, dan melihat kawan perempuanku online, aku pun bertanya kepadanya. “Kenapa pakwe kau awal-awal hebat je baling? Aku tengok 7-8 pin sekali baling. Tapi lepas aku tegur kau, terus longkang?”. ”Dia JELES kau tegur aku.”

Mudahnya jawapan dia. Salahkan aku pulak? Haha. (Jangan marah. Gurau je.) Nampak kan? Sedangkan lelaki soleh seperti Rasulullah dan Umar sendiri cemburu, apatah lagi kami lelaki yang hidup di akhir zaman ini.

Kepada pasangan yang telah berkahwin, sedang bercinta, on-the-way bercinta, fahamilah bahawa lelaki ataupun perempuan akan mencemburui. Jadi terpulang kepada kebijaksaan sendiri untuk berusaha mengelakkan pasangan berasa cemburu. Dan bagi yang mudah merasa cemburu, bukanlah diri ini melabel anda tidak sporting, tetapi bijaklah juga mengawal perasaan itu. Saya tahu anda menyayangi pasangan kamu itu, namun pandulah perasaan itu dengan rasional, bukan emosi semata-mata.

Tuesday, November 15, 2011

Life is a Choice


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera aku dahulukan kepada para pembaca yang masih sudi berkunjung ke blog yang serba kekurangan ini. Ribuan terima kasih diucapkan. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Ilahi atas rezeki yang diberikan pada hari ini, masih diberi kesempatan untuk bernafas dan beribadah kepadaNya.

Terlalu lama rasanya aku menyepi daripada menulis di sini. Merindui saat menulis hungga ke akhir ayat. Kerana sepanjang tempoh “kehilangan” ini, aku tidak mampu untuk menulis apa-apa kerana tiada idea yang tercetus. Kali ini terdetik untuk menulis tentang pengalaman yang diperoleh semasa Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) yang baru berlangsung beberapa hari lepas. Begitu banyak pengalaman yang terjadi yang akan menjadi guru yang terbaik untukku. Moga sahabat-sahabat terus berjuang dalam keluarga IN-SMARTIVE.

Antara pengalaman yang diperoleh ialah berani mengambil risiko dalam keputusan. Para peserta diberikan 2 botol air besar, 5L sebagai barang amanah dan arahan yang diberikan ialah “Kami tidak suruh anda minum, dan kami tidak melarang anda minum”. Ayat tersebut “mencabar” psikologi para peserta untuk mengambil risiko-risiko tertentu dalam membuat keputusan. Mungkin mereka tidak nampak pentingnya langkah tersebut sehinggalah saat “air mata menitis”. Diharapkan dengan keputusan kami (Yien dan Khaliq), dapat mendidik adik-adik mengambil risiko.

Tatkala berakhirnya program tersebut, terlintas sepotong ayat yang pernah dinyatakan seseorang kepadaku “YIEN DAH BUAT KEPUTUSAN. DALAM SETIAP KEPUTUSAN PASTI AKAN ADA YANG TERLUKA.”. Itulah lumrah kehidupan. Kita sentiasa berjuang dengan keputusan yang perlu dibuat. Nak masuk sekolah biasa atau MRSM? Nak pakai baju hitam atau merah? Seandainya keputusan antara pilihan yang mudah, kita boleh membuat keputusan dengan sekelip mata. Namun, jangan pernah menafikan, akan ada masanya kita perlu membuat keputusan yang bakal menyakitkan diri sendiri ataupun orang lain.

Kita mungkin boleh berusaha untuk mendapatkan situasi menang-menang, tetapi kemungkinan tersebut kadang-kala terlalu tipis, terutamanya apabila melibatkan perasaan orang lain. Hati ini tidaklah sebaik seorang yang penting untukku yang mana dia sanggup mengalah dan mengorbankan perasaan sendiri asalkan perasaan orang lain terjaga. BIAR DIRI SENDIRI TERLUKA ASAL ORANG LAIN BAHAGIA. Aku bukan seperti insan itu. Walaupun tidak aku nafikan kadang kala aku juga membuat keputusan yang membahagiakan orang lain tetapi menyeksa perasaanku. Huhu.

Itulah realiti dunia, membuat keputusan yang kadang kala menyakitkan perasaan. Dan itu jugalah antara keputusan yang paling aku benci untuk buat. Apabila melibatkan pemilihan orang-orang yang aku sayangi. Itulah sebabnya seseorang juga pernah mengingatkanku, “pilihlah jalan kehidupan yang membuatkan kamu bahagia.”.

Ya Allah,
aku bukanlah insan yang kuat apabila berdepan dengan pilhan yang sukar sebegini
namun, andai inilah yang terbaik untuk aku mendekatiMu,
akan kucuba untuk menerimanya dengan hati yang redha

Monday, October 17, 2011

Melukai dan dilukai


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang masih sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, saat ini kita masih diberikan peluang untuk terus bernafas di bumi Allah, pada awal pagi kita bangun, masih diberi peluang untuk membuka mata, mendengar “jeritan” jam loceng yang mengejutkan kita. Juga tak lupa, masih diberikan nikmat ISLAM dan IMAN. Alhamdulillah.

Dalam kehidupan sebagai seorang manusia biasa pasti kita akan menempuh pelbagai pengalaman kehidupan. Sedangkan Allah sendiri menguji kekasihNya, apatah lagi kita yang hanya sekadar hamba biasa ini. dan salah satu pengalaman kehidupan, pastinya melukakan hati orang lain.

Mustahil dalam hidup ini, mustahil dalam sepanjang hidup kalian, kali tdak pernah melukakan hati sesiapa. Hati kedua ibu bapa kita, hati adik beradik kita, hati jiran tetangga kita, hati para sahabat kita, hati kekasih kita (bagi yang ada). Hatta, suami isteri juga kadang kala sering terluka. Apatah lagi kesilapan kita dengan yang Maha Pencipta.

Malah, hati kita sendiri pernah terluka dengan apa yang orang lain buat pada kita. Kata-kata mengguris hati yang dilepaskan, tudingan kesalahan yang tidak semena-mena, cacian dan hinaan yang dilontarkan pada kita, pada orang yang kita sayang. Pasti perkara ini akan membuatkan kita sangat terasa dengan tindakan mereka.

Ada suatu kisah yang mungkin boleh diambilkan ikhtibar. Pada suatu hari, ketika seorang guru sedang mengajar, ada seorang pelajar tertidur. Dan apabila cikgu tersebut menengking pelajar tersebut,pelajar tersebut terasa hati dengan guru tersebut dan menulis perkara yang memalukan terhadap guru tersebut dan telah menjatuhkan maruah guru tersebut. Semenjak daripada kejadian tersebut, guru berkenaan enggaan lagi melihat pelajar tersebut di dalam kelasnya. Pelajar tersebut sama ada keluar daripada kelas ketika slot dia mengajar atau dia tidak akan mengajar kelas tersebut lagi. Namun, walaupun setelah pelajar tersebut keluar daripada kelas, cara pengajaran dan layanan terhadap pelajar lain juga berubah. Seolah-olah beliau mengabaikan pelajar lain.

“Kita boleh benci perilaku buruk seseorang tetapi masih perlu berlaku adil” – petikan dialog filem Ayat-ayat Cinta. Apakah wajar seorang guru berbuat demikian? Anda lebih bijak untuk menilai. Dan andainya kejadian tersebut diperhebohkan lagi, apakah mungkin jika guru tersebut berniat “mengharamkan” ilmu yang disampaikan kepada pelajar-pelajar lain? Apakah wajar andai kita telah menyampaikan ilmu kepada C, tetapi kerana kesalahan B (B adalah orang terdekat dengan C) terhadap kita, kita akan mengharamkan ilmu yang kita sampaikan kepada C? Bukankah itu tidak adil?

Dan kadang kala dalam kehidupan kita pula yang asyik buat orang terluka dengan tindakan kita. Walaupun kadang kala kita cuma ingin berdiri pada pihak yang benar, tetapi kita yang dipersalahkan. Keadaan ini kebiasaannya terjadi apabila kita tersepit antara dua pihak. Demi menjaga pihak yang lebih dekat dengan kita, kita akan bersikap agresif dengan pihak lagi satu, walaupun pihak yang dekat dengan kita itu yang melakukan kesilapan. Kebiasaannya pengurusan sebegini yang mempunyai banyak masalah.

Saya juga manusia biasa, sama seperti kalian semua. Terlalu banyak hati yang telah saya lukakan. Orang yang saya sayangi dan orang yang menyayangi saya. Namun, saya pernah diberi nasihat, cubalah pertahankan pihak yang benar walaupun terpaksa berperang dengan pihak yang kita sayangi. Rasulullah sendiri pernah menyatakan "Demi Allah! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, pasti akan kupotong tangannya." (Riwayat Bukhari)

Akhir kata, kita pasti pernah melukakan hati orang lain kerana kita hanyalah manusia biasa yang penuh dengan kesilapan, bukannya malaikat yang sentiasa dengan kebaikan. Jadi, tundukkanlah egomu apabila kamu melakukan kesalahan dan memohon maaf kepada mereka. InsyaAllah mereka akan memaafkanmu. Dan jika mereka tidak memaafkanmu, janganlah kamu melakukan perkara tersebut pada orang lain.

Sunday, September 18, 2011

Pemimpin Berwibawa?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Seorang pemimpin itu memerlukan ilmu dan pengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan untuk membangunkan negara”. Itulah antara butir bicara YAB Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Majlis Syarahan Umum yang berlangsung di UMP beberapa hari yang lalu. Tajuk yang diberikan kepada beliau dikatakan tepat pada masa dan ketikanya dengan melihat perubahan-perubahan pentadbiran dan kepimpinan pemimpin-pemimpin dunia.

Di saat isu kepimpinan negara-negara Timur Tengah yang hangat diperkatakan di media massa yang mana ada yang telah digulingkan, tajuk “Cabaran Kepimpinan Masa Hadapan” adalah topik yang amat sesuai. Alhamdulillah, syarahan yang disampaikan oleh bekas pemimpin no 1 negara tersebut berjaya disampaikan berdasarkan pengalaman luas dan pandangan peribadi beliau.

Berbagai-bagai pesanan disampaikan kepada kaum muda selaku bakal pemimpin negara satu ketika nanti dalam cabaran-cabaran yang harus dihadapi sebagai seorang pemimpin. Namun, atas apa tahap jua pentadbiran, apa yang penting bagi seorang pemimpin ialah ilmu dan pengalaman. Kerana dengan dua elemen tersebut, seorang pemimpin yang berwibawa dapat dilahirkan. Dengan ilmu dan pengalaman dapat memerah otak seorang pemimpin untuk berfikir dan bertindak dengan cara yang bersesuaian bagi menyelesaikan sesuatu rintangan yang dihadapi.

Pentadbiran dunia diisi dengan pelbagai corak pentadbiran. Ada yang lembut, ada yang kejam. Ada pemimpin yang mentadbir selama berpuluh tahun, ada juga yang hanya seketika. Walau selama mana tempoh “kuasa” seorang pemimpin, tempoh itulah yang akan menilai tahap kepimpinan seorang ketua. Contohnya, Umar Abdul Aziz, seorang pentadbir negara yang juga digelar Khalifah Ar-Rasyidin kelima hanya mentadbir selama dua tahun tetapi sepanjang tempoh pentadbirannya, alhamdulillah rakyat beliau hidup sejahtera sehinggakan tiada seorang pun daripada rakyatnya yang mahu menerima zakat kerana mereka mampu menyara kehidupan keluarga tanpa bantuan zakat.

Namun, ada juga pemimpin yang memusnahkan jajahannya sendiri. Seperti mana yang berlaku di China suatu ketika dahulu ketika negara tersebut mengamalkan dasar “tutup pintu”. Tindakan beliau yang disangka dapat membangunkan negara hanya dengan bergantung pada putaran wang dalam negara telah menyebabkan China antara negara yang mundur satu ketika dahulu. Kemudian setelah bertukar pemimpin, barulah dasar tersebut dibatalkan dan menjadikan China kuasa ekonomi dunia yang baru.

Sesuatu tindakan seorang pemimpin akan menentukan tahap kematangannya dalam mentadbir. Andai bijak seorang pemimpin, insyaAllah pentadbiran akan memajukan organisasi. Sebaliknya jika seorang pemimpin berfikiran tertutup, organisasi pasti akan hancur perlahan-lahan. Benar kata orang “Hanya yang melalui akan merasa pengalaman”. Sejarah ISLAM mengisahkan ratusan pemimpin berkaliber yang nama mereka akan terus disebut sampai bila-bila. Dan antara ciri pemimpin-pemimpin ini adalah mereka boleh menerima kritikan dan pandangan orang lain.

Sejarah pernah menceritakan semasa pentadbiran Saidina Umar Al-Khattab, beliau pernah ditegur di hadapan khalayak ramai tentang tindakannya untuk menetapkan harga mahar. Dan beliau dengan tenang menerima teguran tersebut dan mengakui salahnya. Namun kini, dunia agak berbeza. Walaupun naik sebagai seorang pemimpin atas nama “agama”, tidak ramai antara mereka yang berupaya menerima teguran orang lain, apatah lagi daripada orang yang bukan daripada sama kumpulan. Tidak salah jika kita berbeza pandangan atas sesuatu tetapi ia menjadi kesalahan apabila seorang pemimpin terus menidakkan kata orang lain tanpa melihat kebaikan yang cuba disampaikan.

Seorang pemimpin dikatakan perlu bertidak matang dalam membuat keputusan dan sentiasa berusaha untuk mengambil kebaikan yang ada pada setiap pandangan orang bawahan. Tetapi kalau hanya kata sendiri atau dari kumpulan sendiri sahaja yang diterima, lupakan sahaja. Sepanjang tempoh diberi peluang terlibat dengan pengurusan sebuah organisasi, pelbagai jenis kepimpinan telah aku saksikan. Mungkin diri ini tidak layak berkata banyak tetapi cuma sekadar ingin menegur kekurangan seperti mana orang pernah berkata “jangan dinilai siapa yang menyampaikan tetapi pandanglah apa yang disampaikan”.

Wednesday, September 14, 2011

Tiada yang lebih pemurah daripada Maha Pemurah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum diucapkan kepada pengunjung yang masih lagi tidak jemu berkunjung ke blogku ini. Bagaimana kesihatan para pembaca? Sihat sejahtera? Alhamdulillah aku ucapkan bagi yang sihat, dan semoga cepat sembuh bagi yang diuji kesakitan. Andai jasad sakit sekalipun, jangan dibiar jati diri kita sebagai seorang Muslim dan beriman juga sakit. Biarlah 2 nikmat itu terus sihat dalam jiwa kita, insyaAllah.

Kali ini berminat untuk menulis tentang sifat pemurah. Biasanya seorang manusia dikatakan seorang yang pemurah apabila dia selalu bersedekah dan tiada manusia lebih pemurah daripada Rasulullah. Ramai sahabat yang kaya daripada baginda juga mengikut perbuatan baginda seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan ramai lagi. Sifat pemurah ini bukan sahaja hanya pada mereka yang beragama ISLAM tetapi juga pada insan daripada agama lain. Kerana sifat yang baik itu adalah sifat fitrah seorang manusia yang suka pada kebaikan.

Dan tiada yang lebih pemurah daripada Ar-Rahman (Maha Pemurah). Dialah yang memberikan segalanya. Pada yang mentaatiNya ataupun pada mereka yang mengingkari perintahNya. Dialah pemberi segala nikmat. Lihat pada tubuh badan sendiri juga telah terdapat pelbagai keajaiban dunia. Andai monumen-monumen pembinaan manusia pada zaman dahulu dikatakan Wonders of The World seperti Piramid, Tembok Besar China, dan Taj Mahal, tubuh kita juga mempunyai banyak keajaiban dunia iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, hidu dan rasa. Bayangkan kehidupan anda yang selama ini penuh dengan warna warni tiba-tiba gelap gelita, bayangkan kehidupan anda yang tidak mampu merasai apa yang anda sentuh, menghidu wangian bunga, merasa makanan yang lazat. Itu baru hanya lima deria tubuh. Bagaimana pula dengan nikmat anggota tubuh badan yang sempurna dan sihat. Mampukah kamu bayangkan jika kehidupan kamu jika tangan dan kaki kamu tiada? Bagaimana kamu akan bersukan, bagaimana hendak makan, bagaimana untuk kamu jalani kehidupan kamu yang sebelum ini sihat sempurna tetapi kamu abaikan nikmat tangan dan kaki itu?

Beberapa hari yang lalu aku telah menonton salah satu episod The Oprah Winfrey Show yang mengisahkan tentang seorang pasangan, Chris dan Lori Coble yang kehilangan tiga orang anak mereka dalam sebuah kemalangan kereta. Nak tahu kisah, klik sini.

Lihatlah betapa pemurahnya Dia. Segalanya adalah milikNya, jika Dia berkehendak untuk menarik apa yang diberi, tiada tangan yang boleh membantu dan jika Dia berkehendak untuk member, tiada tangan yang boleh menghalang. Ya, kita bukan Tuhan untuk berikan apa yang kita ada kerana apa yang kita ada bukan hak mutlak kita sebaliknya adalah milikNya. Tetapi kita boleh tiru sikit dengan member apa yang kita mampu. Bak kata Ustaz Hasrizal dengan mottonya, “Hidup untuk memberi”.

Sunday, September 11, 2011

Dipandang hina

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca yang masih sudi bertandang ke blog yang seba kekurangan ini. Alhamdulillah, tiba-tiba pada pagi ini diberikan rezeki untuk menaip sebagai coretan baru di sini. Namun sebelum itu, marilah kita mengucapkan syukur terlebih dahulu atas nikmat nyawa untuk terus hidup, ISLAM sebagai agama dan IMAN di dalam hati. Alhamdulillah…

Kali ini aku berminat untuk menulis apa yang terjadi sepanjang tempoh aku senyap dari dunia penulisan (macam lama sangat). Bermula dengan insiden “Orang Miskin Diperlekeh Oleh Orang Kaya”. Ya, aku bukan lahir daripada keluarga yang senang. Tiada kereta, rumah banglo, wang ringgit beribu di dalam akaun bank. Namun alhamdulillah, keluargaku adalah antara salah satu contoh dalam berjuta keluarga di Malaysia yang kesederhanaan dalam kekurangan (entah macam mana la tu). Tetapi mungkin dipandang mewah bagi yang segolongan dan dipandang miskin dan hina bagi mereka yang kaya.

Insiden tersebut terjadi apabila seseorang memperlecehkan keluargaku. Ketika itu yang berdepan dengan situasi tersebut ialah adikku. Jadi bila dikesan perubahan perwatakannya beberapa hari, baru dia menceritakan apa yang terjadi. Tatkala aku mendengar ceritanya, hatiku tersenyum walaupun aku melihat adikku menangis bila diperlecehkan begitu. Lalu aku menghubungi kakakku lalu bertanya “Akak, orang miskin memang selalu dihina dan diperlecehkan oleh orang kaya ke?”. Dia menjawab, “Ya, kenapa?”. Tatkala itu baru terdetik , ingatkan benda sebegini hanya berlaku dalam drama dan filem. Rupanya memang terjadi dalam masyarakat.

Jadi ketika itu, aku berfikir, mengapa masih wujud orang kaya sebegini? Apakah kamu menyangka yang kamu itu terlalu kaya hingga boleh menghina kami yang miskin ini? Maaf wahai saudari, hati keluargaku mungkin menangis kerana penghinaan yang kau berikan, namun jika aku menangis dengan bicaramu itu, tentu aku menangis kerana kau lupa kau juga miskin. Kau miskin bahasa, kau miskin adab, kau miskin akhlak. Andainya penghinaan itu kau tuturkan di hadapanku, dengan pastinya, insyaAllah aku akan menghina kau kembali. (nama je kanak-kanak riang, tapi memang jahat je aku ni.haha)

Itulah sebabnya mengapa saya tidak mahu berkahwin awal. Saya mahu mencari kekayaan bagi mengambil kembali maruah keluarga yang dihina kerana miskin”. Kata-kata tersebut membuatkan aku untuk berfikir apakah aku juga perlu begitu? Mengejar kekayaan dunia bagi mendapatkan kembali maruah keluarga setelah dihina dan dipandang rendah hanya kerana aku miskin (tapi bagi aku sederhana)? Adakah aku perlu mencari sebanyak mungkin harta, menjadi materialistik dalam kehidupanku?

Apabila aku tiba-tiba menyatakan hasrat untuk mengejar cita-citaku dan ingin menjadi materialstik sebelum berfikir untuk berkahwin, ada yang menyokong walaupun dalam kehairanan. Kerana memang sahabat-sahabatku tahu bahawa aku sangat gemar untuk berbicara soal perkahwinan kerana memang niatku untuk berkahwin awal. Jadi ada yang bertanya, “Kenapa tiba-tiba nak jadi materialistik? Sebab dipandang hina kerana miskin?”. Bukan itu sebabnya wahai sahabatku. Aku tak segan dipandang hina kerana miskin kerana aku tak miskin. Ya mungkin serba kekurangan tetapi aku masih kaya. Allah masih berikan aku cahaya kegembiraan dalam hatiku. Allah kurniakan aku sahabat-sahabat yang akan berada disisiku dikala aku memerlukan mereka. Allah kurniakan aku kakak angkat yang sangat baik. Jadi ertinya aku kaya.

Jadi selama beberapa hari itulah cita-cita baruku. Menjadi kaya bagi berupaya memiliki apa yang aku mahukan di dunia ini. namun, angan-angan menjadi materialistik itu hanya kekal bebrapa hari. Hahaha. Segalanya musnah apabila aku menonton sebuah rancangan realiti di televisyen yang memaparkan sepasang pasangan tua yang hidup sangat kekurangan. Jika dibandingkan kehidupan keluargaku yang dikatakan miskin ini, nescaya mereka berkata bahawa aku hidup mewah umpama raja. Apa yang membuatkan impianku untuk menjadi materialistik musnah apabila dia dia berkata ”Mungkin kehidupan saya tidak semewah ahli politik atau sesiapa yang hidup di bandar, tetapi mereka tiada pemandangan di rumah mereka seindah rumah saya.”. Riak wajah ketenangan masih terpancar di wajahnya dalam bicaranya itu.

Lihat sahaja berapa ramai orang yang hidup mewah, namun hilang ketenangan. Hilang kegembiraan dalam jiwa mereka. Jadi rasanya, mungkin aku masih lagi akan mengejar niatku untuk berkahwin awal tetapi mungkin aku akan mengejar cita-citaku dahulu. Namun, juga pesanan kepada diriku, walaupun impian dikejar, jangan sesekali menjadi materialistik. Orang tidak memandang kekayaan dunia yang dimiliki, tetapi orang mengidamkan kegembiraan dalam hati. Orang pernah pesan, “Ketenangan hati itu boleh ditemui dalam dua, sujudmu dan bacaan Quran”.

Tuesday, August 23, 2011

Aku terima nikahnya...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum didahulukan dan terima kasih diucapkan kerana masih sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, kita masih diberikan nikmat nyawa untuk terus bernafas pada hari ini. Juga marilah kita ucapkan syukur kerana masih dianugerahkan nikmat IMAN dan ISLAM. Bagaimana Ramadan para sahabat? Moga kita sama-sama berharap Ramadan kita diampunkan dosa-dosa dan diterima amalan kita, insyaAllah.

Pada pagi ini, alhamdulillah diberikan sekali lagi peluang untuk terus menaip. Baca tajuknya di atas? Saya menulis tajuk ini, BUKANlah untuk membuat pengunguman yang saya telah pun berkahwin atau pun bakal berkahwin dalam masa yang terdekat ini. Saya menulis kerana selepas Ramadan ini berakhir, tentu akan ada jemputan ke majlis perkahwinan. Malahan telah hadir dua kad jemputan perkahwinan daripada sahabat ayah dan satu lagi daripada kenduri perkahwinan sepupu sendiri (anak Pak Long).

Gambar sumber daripada http://cindai-sutera.blogspot.com . (Cuak pikirkan giliran sendiri)

Semalam semasa berbual tentang perancangan akhir tahun nanti (insyaAllah diharapkan menjadi), dengan kakak saya, timbul persoalan “Hanya Yien je yang akak kenal yang semangat nak kawin awal”. Amboi dia ni, suka-suki sahaja cakap macam tu (padahal memang betul pun). Ramai remaja kini yang suka bercakap soal perkahwinan. Itulah topik yang paling “Best @ Hangat” diperkatakan oleh remaja terutama yang berusia 20 tahun ke atas.

Banyak juga buku bagi memberikan pasangan yang ingin mendirikan masjid bagi membuka minda, bagi memberikan bayangan awal bagaimana perkahwinan itu. Aku Terima Nikahnya antara buku yang menyediakan bayangan awal kepada bakal pengantin (semangat punyer pasal, ketiga-tiga dah habis baca). Malah, banyak blog-blog yang menceritakan indahnya perkahwinan itu. Bak kata Fatimah Syarha “Bila sudah berkahwin, meletup rasa cinta tu” (lagi bersemangat nak kawin awal.haha).

Namun, (walaupun saya bersemangat nak kawin awal) hendaklah juga para pembaca buku, blog, cerpen ataupun novel cinta yang berkisarkan tentang perkahwinan perhatikan juga pesanan-pesanan yang “tidak seindah yang disangka”. Ya benar, perkahwinan itu sunnah, perkahwinan itu indah. Namun jika pasangan tidak tahu matlamatnya, nescaya yang indah akan menjadi buruk.

Memang perkahwinan itu banyak pahala yang menanti. Pegang tangan isteri masa pergi pasar malam, pahala. Tolong isteri buat kerja rumah, dapat pahala. Hantar mesej “Rindu kat sayang”, dapat pahala. Tulis “5 hari lagi (mengira detik isteri pulang)” kat wall Facebook pun pahala. Namun, perancangan perkahwinan itu juga penting. Janganlah bersemangat untuk berkahwin hanya untuk menghalalkan apa yang haram tetapi lihatlah perkahwinan itu daripada segala sudut. Bagi seorang suami, dosa isteri akan berpindah kepada suami. Makin bertambahlah akaun dosa si lelaki.

Kebiasaannya seorang lelaki pasti inginkan wanita yang baik (walaupun lelaki tu takde la baik sangat. Tuju kat diri sendiri) dan saya tertarik bila baca sebuah cerpen, “ANDAI DIRI ITU TAK SOLEH, TAK PERLU LA KOT NAK BERANGAN NAK DAPAT YANG SOLEHAH”. Kalau mana-mana perempuan yang menyatakan sebegitu, pasti ada lelaki yang mengatakan “Eleh, baget solehah sangat la tu” sebab ego untuk mempertahankan maruah lelaki (kononnya). Namun, kalau si lelaki itu sedar, memang makin “PUPUS” lelaki yang soleh. Tidak perlu rasanya lelaki-lelaki yang membaca post ini untuk komen “baget kau soleh la?”. Saya akui saya bukan lelaki soleh, Cuma masih bertatih menuju destinasi yang entah bila akan sampai itu atau mungkin tak sampai pun.

Wahai para lelaki,
Andai diri bukan akhlaknya seindah Muhammad, jangan bermimpi ingin mendampingi wanita sebaik Khadijah
Andai diri bukan pintu ilmu seperti Ali, jangan berharap bernikah dengan wanita seperti Fatimah

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu HARTA KEKAYAANNYA, KETURUNANNYA, KECANTIKANNYA dan AGAMANYA. Maka UTAMAKANlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang KUAT BERAGAMA, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ada kisah yang saya baca, seorang perempuan pernah menyatakan “Awak carilah orang lain yang lebih baik dari saya. Awak budak baik. insyaAllah ada yang suka kat awak. Awak mencari seorang perempuan yang ada empat ciri tu, tetapi saya hanya ada dua. Andai awak jumpa sesiapa yang lebih baik dari saya dalam tempoh masa ni, terimalah dia”. Tahu apa jawapan lelaki itu? “Saya cari je, tetapi saya pun bukanlah sempurna semua tu juga. Saya pun bukan kaya sangat, keturunan alhamdulillah lebih kurang macam awak, saya memang la handsome tapi takde la hensem sangat. Bab agama pun masih banyak nak kena belajar lagi.”. Macam senang sahaja dia cakap tetapi dia mudah mengakui kelemahan sendiri.

Jadi para lelaki, marilah sama-sama kita menilai diri sendiri. Kalau sendiri nak baca Quran pun malas, tolonglah jangan nak berangan nak dapat yang hafizah. Kalau diri susah nak solat, jangan dicari yang mencintai tahajud. Kalau diri pemalas, jangan berharap dapat yang mencintai syahid dan bersedia berjuang demi cintanya pada ISLAM. Kalau puasa pun ponteng suka hati tanpa segan silu, tak perlu mengidamkan yang suka puasa sunat. Kamu hanya akan menyusahkan dia. Lebih teruk lagi menyekat perjuangannya.

Saya akui memang hati terdetik mencari yang hafizah, yang bertudung labuh, yang mencintai agamanya melebihi segalanya, yang cantik, yang kaya. Tetapi APAKAH BANGANG SANGAT saya ini sehingga menetapkan syarat-syarat tersebut jika saya sendiri bukan seorang hafiz, bukan yang rajin berjemaah di surau, yang bersedia mengambil tiket kapal terbang ke Palestin hari ini, bukan handsome, bukan kaya raya? Saya rasa tak perlu pun saya mencari wanita sebegitu. Cukuplah seorang wanita yang sedap mata memandang (pada pandang sendiri sangat cantik, biaq pi la orang kata biasa pun), yang tahu agamanya, yang bersedia berhujah mempertahankan apa yang dirasakan betul selagi tidak menentang agama dan tidak melawan suami sangat (sebab saya kuat menjawab. Haha)

Akhir kata, penulisan ini juga ditujukan kepada para pembaca wanita (pandai-pandai sendiri la susun ayat untuk tuju ke muka sendiri ye?). Bagi insan yang terasa, maksudnya memang betul la apa yang saya katakan. Kalau tidak, sama ada kamu memang baik, ataupun muka tembok yang tidak tahu menilai diri sendiri. Ingatlah perkahwinan bukan sekadar melafazkan "Aku terima nikahnya".Sekian…

Monday, August 22, 2011

We are different

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum diucapkan dan terima kasih didahulukan kerana sudi menziarah blog yang tidak seberapa ini. Alhamdulillah, kini telah 22 hari aku berada dalam Universiti Ramadan, begitu juga dengan saudara dan sahabat seagamaku. Bagaimana kehidupan kita hari ini? Masih diberikan kekuatan untuk tersenyum? Hehe. Alhamdulillah, jadi marilah kita mengucapkan syukur kepada Tuhan yang Esa atas rezeki untuk senyum kepada kita, tidak lupa juga kepada nikmat yang terulung bagi seorang Muslim/Muslimah iaitu nikmat IMAN dan ISLAM.

Tiba-tiba hari ini terdetik untuk berbicara selain daripada tajuk Ramadan. Di pagi yang indah ini, hati terdetik untuk menulis tentang “PERBEZAAN PANDANGAN”. Semua antara kita pernah mengalami benda ini bukan? Setiap hari kita boleh “bergaduh” kerana berbeza pandangan. Saya alami perkara ini setiap hari, kalau sehari tidak alami, memang terasa pelik. Hehe

Masing-masing akan berusaha untuk mempertahankan pandangan masing-masing. Pernah sekali saya “bergaduh” dengan seseorang yang penting dalam hidup saya kerana perbezaan pandangan tentang “Pengaruh Luar VS Kekuatan Dalaman”. Saya mempertahankan hujah yang menyatakan jika kekuatan dalaman itu kuat, nescaya tidak akan dipengaruhi oleh persekitaran luar. Misalnya, seandainya seseorang itu memang tidak merokok tetapi majority rakan-rakannya merokok. Andai kekuatan dalaman dia kuat dengan prinsip “Saya tidak akan merokok”, insyaAllah dia tidak akan terpengaruh. Namun, dia tetap berdegil dengan hujahnya yang pengaruh luar tetap memainkan peranan penting. Kalau persekitaran sudah pun sebegitu, perlahan-lahan dia akan merokok juga.

Gambar hiasan sumber daripada Google Image (bukan gambar saya.hihi)

Akhirnya saya mengalah dan benarkan dia menang dengan hujahnya. Bukan mengalah kerana malas untuk terus berdebat, tetapi mengalah kerana melihat kesungguhannya mempertahankan hujahnya. Andai sesiapa yang melihat wajahnya ketika itu, pasti hati tercuit untuk ketawa kerana bagaimana semangatnya dia mempertahankan hujahnya. Hehe. (Kalau terbaca, jangan marah ye?)

Benar, sesiapa pun akan berjuang untuk mempertahankan hujah yang dirasakannya benar. Kadang-kala sehingga menganggap “Lantak kaulah, aku dah bosan nak hujah pasal benda ni. Yang penting aku betul.”. saya pun pernah alami, terutama apabila berhujah dengan sahabat-sahabat. Pernahkah terdetik sekiranya masing-masing ada hujah yang bernas, yang boleh diterima oleh kedua-kedua pihak? Berbalik kepada “peperangan hujah” dengan orang tadi (kes merokok), ada yang hujahnya yang bernas dan memang saya akui kebenarannya. Cumanya, faktor persekitaran untuk mempengaruhi seseorang bukanlah hujah yang boleh digunakan untuk semua kes. Misalnya, sekiranya seseorang yang datang daripada Kuala Lumpur, adakah wajar dia dituduh “Eleh, budak KL mesti sosial. Tengok la KL tu macam mana tempatnya.” Ya benar, Kuala Lumpur adalah tempat yang memang terkenal dengan kemajuan moden pesat yang penuh dengan pusat hiburan. Namun, itu tidak pernah bererti penduduknya berperwatakan buruk dan liar.

Jadi marilah sama-sama (NASIHAT UNTUK DIRI YANG HINA NI DULU) kita belajar untuk betolak ansur dalam menyampaikan pandangan. Tidak perlu sehingga bergaduh besar hanya kerana “Aku benar, kau salah”. Seandainya memang dia salah, tidak perlu rasanya menghina dan menyisihkannya. Perlahan-lahan kita mengubahnya dan berdoa agar terbuka pintu hatinya untuk menerima kata-kata kita.

Saturday, August 20, 2011

Mengira detik...



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

sumber daripada IluvIslam

Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca. Alhamdulillah, hari ini diberi kemudahan untuk menulis di awal pagi. Kini telah pun 20 hari Ramadan berlangsung. “Bahtera Ramadan” yang menjenguk kita setahun sekali ini hampir bersedia untuk meninggalkan kita sekali lagi. Fasa ketiga (fasa dilindungi daripada api neraka) telah mendatangi kita.

Dan dalam fasa ketiga ini disertakan dan dijanjikan oleh Allah terdapat satu hari yang begitu istimewa yang jarang digembar gemburkan. Bak kata ustaz yang sampaikan tazkirah Ramadan “Negara kini digembar gemburkan dengan semangat 1Malaysia, salam 1Malaysia dan macam-macam lagi 1Malaysia. Namun, jarang ada yang mengembar gemburkan tentang hari yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang tidak ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” – Surah Al-Qadr:1-5.

Wahai para pembaca sekalian, saya juga tahu yang hari-hari terakhir puasa ini kebanyakan daripada kita bergembira kerana Syawal bakal menjelma. Hari raya yang penuh dengan makanan, kepulangan ke kampung bersama saudara mara untuk menyambut Aidil Fitri adalah saat yang menggembirakan. Namun, marilah kita saling berusaha untuk terus menggandakan usaha di malam-malam terakhir ini agar kita sama-sama dapat bertemu Lailatul Qadar.

Bak kata lagu “If today was your last day- Nickelback”, ‘If today was your last day and tomorrow is too late, could you say goodbye to yesterday?’. Marilah saudaraku, kita terus berusaha untuk terus berusaha memburu amalan yang berganda ini.

“Janganlah kita mengeluh dengan banyaknya dosa tetapi carilah peluang untuk meningkatkan amalan” – petikan daripada Bayangan Sepi.

Thursday, August 18, 2011

This is my story

Gambar sumber daripada http://yusufultraman.com

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum kepara para pembaca yang sudi menjenguk ke blog yang tidak seberapa ini. Alhamdulillah, kini telah 18 hari Ramadan berlalu. Fasa kedua (fasa keampunan) kian melabuhkan tirai dan kini Ramadan kian menghampiri fasa terakhir. moga Allah memberikan kita kesempatan untuk terus merasai nikmat iman dan Islam agar dapat merasai hari-hari terakhir bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai peristiwa telah berlaku. Ada yang gembira, ada yang sedih. Tetapi bukan itu yang ingin dikisahkan pada entri kali ini. Saya pasti ada di antara anda yang telah menonton rancangan “Ini Kisahku” di TV9 yang memaparkan beberapa kisah insan yang telah diberi hidayah untuk kembali ke jalan yang benar dan menjadi Muslim atau Muslimah yang lebih baik. Apabila menonton rancangan tersebut, terdetik hati ini untuk menulis kisah sendiri. Bukan untuk membuka pekung di dada apatah untuk mendabik dada, tetapi hanya sekadar tazkirah yang boleh diberikan pada diri ini satu ketika nanti.

Aku membesar dalam sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Mungkin kurang daripada segi kekayaan tetapi kedua ibu bapaku tidak kurang memberikan aku kasih sayang. Sepanjang aku membesar, aku diberikan pendidikan dunia dan akhirat. Namun hatiku tidak pernah terbuka untuk mendekati atau pun mendalami ilmu agama walaupun sedikit. Aku masih membaca Quran dan menunaikan solat, tetapi tak pernah terdetik dahulu untuk mengetahui apa yang ditulis dalam kitab suci itu. Aku juga sangat-sangat jarang untuk belajar solat berjemaah di surau. Aku hanya ke masjid untuk Solat Jumaat. Itupun hanya sekadar solat, dan bukannya duduk mendengar khutbah yang disampaikan. Begitulah kehidupanku.

Aku juga sangat jauh bersahabat dengan rakan-rakan sebaya daripada bangsa yang sama. Ya benar. Aku tidak rapat dengan sahabat-sahabat yang berbangsa Melayu. Kerana kebanyakan remaja berbangsa Melayu di kawasan perumahanku ketika itu agak buruk akhlaknya (hisap rokok dan melepak). Jadi, ibu bapaku mengawal aku daripada bergaul rapat dengan mereka. Dan di sekolah pula, aku lebih banyak bersahabat dengan pelajar bangsa Cina kerana majoriti pelajar di sekolahku adalah berbangsa Cina. Jadi, disebabkan persekitaran begitu, aku tiada sahabat yang mengajak aku untuk mendekati Islam.

Selepas mendapat keputusan SPM, aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah. Pada saat awal aku menjalani kehidupan disitu, agak susah bagiku untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan Islamik yang menjaga batas pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan. Lelaki akan melakukan aktivit bersama pelajar lelaki sahaja dan perempuan akan bersama kaum mereka. Memang berbeza sekali dengan sekolah menengahku. Malah, kesemua rakan sebilikku adalah berbangsa Melayu dan menambahkan kekekokanku hidup dalam komuniti bangsaku sendiri. Macam cacat otak je aku ni kan?

Kehidupanku begitu terseksa. Aku tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengalaman baru ini. Namun, hari berganti hari, aku cuba berusaha untuk menyesuaikan diri dengan teman sebilik, dengan teman kuliah dan teman sekelas. Dan ketika di matrikulasi inilah aku belajar untuk rajin ke surau. Rajin untuk berjemaah walaupun kadang-kala masih ponteng dan hanya sekadar solat di bilik. Hari demi hari alhamdulillah, kaki ini rajin sedikit untuk solat berjemaah. Namun, perubahan terbesar ketika itu bukanlah aku rajin untuk ke surau tetapi aku mula menerima rakan yang berbangsa Melayu. Semuanya kerana teman sebiliku. Entah mengapa jika dahulunya aku prejudis terhadap remaja-remaja Melayu, segalanya berubah kerana budak seorang ini. Nak cakap baik sangat, tak juga. Nak cakap teruk, pun tak juga. Tetapi aku mula mengubah pandanganku apabila aku sering melihat dia khusyuk membaca ayat Al-Quran. Kebiasaannya dia akan membaca Quran selepas solat Subuh dan Asar. Kalau rajin, setiap kali lepas solat. Hati ini tertarik apabila melihat dia khusyuk membaca dan membuatkan aku terdetik bahawa bukan semua remaja Melayu itu buruk akhlaknya.

Malah, budak seorang inilah yang sering memerliku apabila aku “buta” sejarah Islam. Bila ditanyanya -aku tokoh-tokoh Islam, aku terdiam tiada jawapan. Apabila aku lewat untuk bangun Subuh, inilah juga insan yang berusaha mengejutkan aku sampai ditendang-tendang katilku. Dan kenangan yang paling best dan tidak mungkin aku lupakan bersama dia ialah tibanya bulan Ramadan. Member tazkirah dikala bersahur dan berbuka, bertukar giliran membeli juadah berbuka. Itulah sifatnya yang membuatkan aku mengubah 100% pandanganku terhadap bangsa Melayu.

Kemudian aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Pahang dalam jurusan yang tidak pernah kuminati. Ketika itu, aku merasakan inilah hukuman yang Allah berikan kepada aku kerana leka dengan dunia. Rupa-rupanya inilah antara perancangan Allah yang terbaik dalam hidup ini. Jika disangkan KMNS adalah Islamik, rupanya UMP lagi Islamik. Beserta sebuah organisasi masjid yang dipangsil Sahabat Masjid (SAHAM) membuatkan gerakan dakwah lebih kuat berbanding matrikulasi dulu yang kalau ada pun tidak terasa auranya. Disebabkan aku masih lagi “rabun” agama, aku tidak bergaul sangat dengan budak-budak masjid yang kadang-kala kulihat tertutup pemikirannya. Namun Allah rencanakan aku untuk menyertai sebuah badan sukarelawan yang dipanggil In-Smartive. Persatuan ini ditadbir oleh insan-insan yang agak Islamik tetapi tidak terlalu hard core. Cumanya masih menjaga batasan.

Aku dipertemukan dengan insan-insan yang banyak membantuku untuk berubah kepada kebaikan. Walaupun pada awalnya aku berubah kerana seorang manusia, akhirnya aku sedar bahawa bukan dia yang akan membahagiakan aku walaupun aku berjaya memilikinya. Sepanjang aku menaruh hati padanya, Allah menunjukkan aku kemanisan mengenal Dia. Allah tunjukkan kasih manusia itu tidak semestinya berbalas tetapi sesiapa yang cuba mengenali Dia, comfirm 100% Dia akan “membayarnya” sama ada secara tunai atau ansuran.

Sepanjang tempoh itu, aku “diperkenalkan” oleh Allah seorang Muslimah yang sering kali menegur tatkala aku melakukan kesilapan. Sesuatu yang jarang dilakukan kepadaku oleh mana-mana rakanku. Kadang-kala teguranya secara langsung, kadang kala tegurannya berkias (menyebabkan dia bertambah marah padaku kerana aku kurang cepat menangkap maksud penyampaiannya). Dialah yang paling baik denganku, tetapi dia jugalah paling garang dan menakutkan bagiku. Andai apa yang aku tersalah buat, dialah insan pertama yang akan sound directly padaku. Berapa kali telah aku buat dia menangis (banyak sangat sampai tak ingat) tetapi tetap dia sedia berada bila aku memerlukan seseorang untuk menasihatiku. Perwatakannya yang baik tetapi menakutkan memang menjadikan dia akak angkatku yang paling menakutkan. (nasib baik bukan akak kandung. Kalau akak kandung, dah mati kot aku kena belasah je dengan dia). Alhamdulillah, sehingga hari ini, dia masih terus tak putus memberikan teguran. (mampos aku kalau dia baca part ni..hihi)

Kini aku masih lagi bertatih mencari hidayah Allah. Mengenal Dia dan sifat-sifatNya. Mengenal kekasihNya yang bernama Muhammad. Belajar untuk menghidupkan amalan-amalan hari Rasulullah itu mudah sekali rupanya. Cuma kadang-kala hati ini sahaja yang enggan. Jika dahulu aku mengagung-agungkan kisah sejarah Barat, rupa-rupanya tiada sejarah yang lebih baik daripada sejarah rasulullah dan para sahabatnya. Jika dahulu aku mengagung-agungkan kisah cinta “Romeo & Juiet” yang dipromosi Barat, rupa-rupanya ada kisah percintaan yang lebih manis dalam sejarah Islam seperti kisah cinta Rasulullah dan Khadijah dan Ali Abu Talib dan Fatimah Azzahra yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pada hari ini.

Ya Allah,
Aku insan yang hina lagi lemah segalanya
kepadaMu aku mohon segalanya
terimalah taubatku dengan amalan yang tak seberapa ini
ampunkanlah dosa-dosaku yang tinggi melangit
ampunkan dosa-dosa kedua ibu bapaku, ahli keluargaku, sahabatku, guruku dan umat Islam yang lain
aku juga inginkan hidayahMu
aku juga ingin menjadi hamba yang telah Kau anugerahkan kemanisan sujud padaMu
ampunkan aku ya Tuhanku…

Wednesday, August 3, 2011

Menegur dengan berhikmah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum diucapkan kepada insan-insan yang sudi berkunjung ke blog yang tak seberapa ini. Alhamdulillah hari ini adalah ahri ketiga Ramadhan. Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kerana masih bernafas dalam nikmat sebagai seorang Muslim yang diberi nikmat IMAN & ISLAM. Juga tidak lupa menyucapkan syukur kerana diizinkan untuk terus menempuh bulan Ramadhan ini. Kali ini tertarik untuk menulis tentang cara peneguran.

Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Surah Al-‘Asr: 1-3”.Dalam aya ketiga didapati Allah telah berpesan kepada kita untuk kita saling mengingatkan antara satu sama lain.

Mengingatkan atau dengan erti kata lain menegur orang lain ke arah kebaikan adalah salah satu sifat yang mulia. Dengan peneguran sebegitu juga adalah salah satu usaha untuk menyampaikan dakwah kepada orang lain. Dan berdakwah itu pula adalah wajib bagi setiap Muslim. Alhamdulillah, dapat kita perhatikan sejak kebelakangan ini makin bertambah medium dakwah yang berkembang. Jika dahulunya ada yang bercita-cita menjadi artis dari rancangan hiburan realiti seperti Akademi Fantasia tetapi hari ini dapat dilihat ada yang menuntut ilmu keagamaan menerusi rancangan Imam Muda dan akan datang Ustazah Pilihan.

Juga rancangan-rancangan televisyen yang kian bercambah dengan elemen Islam seperti TV Al-Hijrah dan Astro Oasis. Juga sempena Ramadhan kali ini, Astro turut menyediakan saluran Astro Ramadhan. Malah di saluran TV1, TV2, TV3, dan tentunya TV9 turut mempergandakan rancangan-rancangan keagamaan sempena bulan yang mulia ini, alhamdulillah. Tak terkecuali juga dengan zaman kemodenan kini, ramai juga yang menggunakan medium terpantas iaitu internet untuk menyampaikan ilmu dan teguran. Dapat anda semua saksikan di blog-blog dan nota dan status di Facebook yang menyampaikan teguran dan berdakwah. Marilah sama-sama kita mengucapkan syukur di atas anugerah kesedaran ini dan moga kita semua terus istiqamah dalam menyampaikan teguran ke arah kebaikan, insyaAllah.

Namun, dibalik ruang dan medium yang ada untuk kita melaksanakan tugasan wajib ini, bukanlah bererti kita boleh menegur sesuka hati tanpa menghiraukan pandangan dan perasaan orang lain. Walaupun kita tahu kita di pihak yang benar, tidak bereti kita boleh menegur hingga mengguris perasaan orang lain. Semua orang ingin berdakwah tetapi seorang pendakwah itu perlulah berhikmah. Dan tiada contoh terbaik dalam berdakwah selain Kekasih Allah iaitu Rasulullah S.A.W. dalam baginda berdakwah, tiada cacat celanya. Cara berdakwah yang lembut dan halus menyebabkan setiap hati 200% pasti tertawan dengan cara baginda.

Namun kita hanya insan biasa. Kita langsung tidak setaraf dengan baginda dan para sahabatnya. Dakwah kita pasti ada banyak kekurangannya. Pasti ada cacat celanya. Namun, itu tidak bererti kita perlu menyerah kalah. Kita perlu tetap berdakwah. Dan dalam usaha kita sebagai pendakwah yang banyak kekurangan ini, perlulah ingat bahawa peneguran haruslah bersesuaian dengan orang yang ditegur. Bagaimana kita boleh menengking seorang kanak-kanak berusia 5-6 tahun yang berkejaran di dalam suarau atau masjid? Mereka tidak tahu lagi tentang adab-adab di tempat sebegitu.

Kanak-kanak ada cara dalam berdakwah. Kita semua pasti pernah melalui zaman kanak-kanak bukan? Jika salah caranya, pasti kita akan memberontak. Saya juga pasti tidak kurang yang telah menonton drama Nur Kasih. Lihat bagaimana Adam yang pada zaman kecilnya agak “kurang masuk” dengan penyampaian agama. Bagi sesiapa yang pernah menonton Kungfu Panda, juga dapat saya jadikan itu sebagai contoh. Lihat bagaimana Master Shifu yang pada awalnya cuba untuk melatih Dragon Warrior, Po dengan cara dia telah melatih Furious 5. Namun cara tersebut gagal dan akhirnya Master Shifu menemui cara baru untuk melatih Po untuk menjadi “seorang” kungfu master.

Sumber daripada Google Images

Ya saya juga tidak menafikan ada kalanya cara lembut tidak berkesan dan kadang kala kekerasan dan ketegasan diperlukan tetapi itu adalah cara terakhir. Allah juga terlebih dahulu memperkenalkan diriNya dengan sifat-sifatNya seperti Maha Penyayang dan Maha Mengasihani sebelum menyatakan “hukumanKu itu adalah sangat pedih”.

Sesungguhnya penulisan di atas hanya sekadar pandangan saya yang dapat saya perhatikan apabila seorang pendakwah cuba menegur, tetapi dengan cara yang salah. Tindakan pendakwah yang salah bukan sahaja mungkin mengguris perasaan orang yang ditegur, namun juga menyebabkan orang yang ditegur makin jauh dari kebaikan. Moga kita sama-sama dapat memperbaiki diri (PESANAN DIDAHULUKAN KEPADA DIRI SENDIRI).

Wednesday, July 27, 2011

Mendaftar masuk ke Universiti




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum kepada para pembaca sekalian, beberapa hari lagi saya akan mendaftar masuk ke universiti. Ya, UNIVERSITI. Universiti baru yang istimewa buat semua umat Islam di seluruh dunia. Nama universiti saya ialah UNIVERSITI RAMADHAN. Kemasukan ke sekolah saya ini dinantikan oleh setiap umat yang beragama Islam. Lebih daripada menanti kemasukan ke University Harvard.

Sesungguhnya UNIVERSITI RAMADHAN adalah satu-satunya universiti di dunia yang paling singkat tempoh pembelajarannya iaitu selama 30 hari sahaja. Hari konvokasyen university saya sungguh unik namanya. LAILATUL QADAR. Bagi sesiapa yang dapat “merasai” hari konvokasyen tersebut, maka sesungguhnya dialah insan yang paling beruntung.

“Sesungguhnya malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan” Surah Al-Qadr:3

Jadi dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat masuk ke UNIVERSITI RAMADHAN

Saturday, July 23, 2011

my own road...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum to all the readers, thank you for spending a few minutes of your time to read my blog. This time I would just like to upload a picture rather than blabbering about something that others can think for themselves.

Love the girl style...

Monday, July 11, 2011

Mencari hati yang hilang...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca. Mesti ada yang tertanya-tanya “Ke mana pula perginya hati Yien sampai dia nak cari ini? Ke dah dicuri orang?”. Benar persoalan kamu itu, hati ini telah hilang. Hilang diculik seseorang yang istimewa (jangan ditanya siapa penculiknya). Akan tetapi bukan itulah sebabnya aku menulis entri ini.

Entri kali ini adalah untuk membincangkan serba sedikit tentang apa yang berlaku waktu ini sama ada berlaku di hadapan mata ataupun bukan. Pada minggu ini aku diberi kesempatan untuk menyaksikan dua kejadian yang sungguh berbeza. Satunya aku melihat seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang hadir ke surau untuk solat Asar. Aku tidak pasti dia hadir bersama siapa tetapi yang penting dia hadir untuk berjinak-jinak dengan masjid. Walaupun cara solatnya hanyalah berdasarkan apa yang ditiru pada orang sebelah, namun sekurang-kurangnya dia belajar meniru untuk solat. Peristiwa kedua, ialah yang mana aku melihat anak-anak remaja yang masih duduk melepak bersama rakannya sambil bermain gitar di kawasan padang sedangkan azan Isyak baru sahaja lepas berkumandang.

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah shollallĂ´hu ‘alaihi wasallam bersabda: ”Barang siapa diantaramu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ~ H.R. Muslim

Lemahnya imanku ya Allah. Aku hanya mampu melihat mereka sebegitu.

Bagi si adik yang berusia 6 tahun tadi, (walaupun abang tahu kamu tak baca blog ini) abang nak cakap yang abang dengki dengan kamu. Sungguh abang dengki. Dengki kerana abang tercabar. Tercabar kerana abang sendiri jarang ke surau walaupun kematian abang makin hampir. Lepas ini, harap abang lebih rajin ke surau, bagi adik-adik remaja, aku memohon maaf kepada kamu semua kerana tidak menegur kalian. Lidah ini seakan kelu bila berhadapan dengan kalian. Mungkin kerana kita tidak pernah berkenalan, namun sepatutnya bukan itu yang menjadi alasanku. Aku patut menegur kalian tanpa alasan apa sekali pun. Jadi maafkan aku.

Kini kita telah menyaksikan perhimpunan BERSIH 2.0 yang telah dijalankan pada 9 Julai di sekitar Bandar raya Kuala Lumpur. Jalan-jalan utama ke Bandar ditutup, orang ramai berhimpun dan bergerak sambil melaung-laungkan “Hidup, hidup. Hidup Rakyat”, barisan pihak polis yang bersedia dengan kelengkapan seperti gas pemedih mata. Ada yang menyatakan BERSIH yang salah kerana menganjurkan perhimpunan haram, ada yang berkata pihak polis yang salah kerana bertindak kejam. Sedarkah bahawa di sini berlakunya kepincangan rakyat? Kepincangan ummat? Semuanya kerana berbeza pandangan. Masing-masing menyatakan mereka benar dan pihak yang lagi satu salah. Tidak salah jika saya katakan hati mereka hilang. Entah ke mana hilangnya hati mereka. Mustahil diculik seperti saya.

Dalam majalah SOLUSI edisi 33 baru-baru ini telah dipaparkan tajuk utama berkenaan “Rapuh Iman, Runtuh Perpaduan”. Jika dilihat dari sudut Perhimpuan BERSIH, memang perpaduan kita rapuh. Bukan hanya perpaduan dengan kaum lain tetapi sesame saudara seagama sendiri. Rapuhkah iman kita? Nauzubillah min zalik. Angah saya pernah mengatakan “jaga hubungan dengan Allah, insyaAllah hubungan sesama manusia akan terjaga”. Andai kita menjaga perhubungan dengan Sang Pencipta, Dia akan membantu kita untuk menjaga hubungan kita dengan orang lain.

Marilah sama-sama wahai saudaraku. Kita bangun mencari hati yang hilang demi mencapai cintaNya. Ya, ia bukan mudah kerana itu ia dipanggil perjuangan. Ada pepatah pernah menyatakan “Untuk melihat kejayaan sebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya”. Kalau generasi muda kini kian rosak, apakah akan ada harapan pada masa depan bagi negara? Marilah kita berusaha agar kita menarik anak-anak muda kini dekat dengan Pencipta,mengenal manisnya berjemaah, menambah ilmu dunia dan akhirat, mencari hati yang hilang.

Thursday, July 7, 2011

Air mata itu kekuatan...

sumber dari facebooksmileys.com

Assalamualaikum kepada para pembaca sekalian…

Menurut penjelasan biologi, air mata itu dihasilkan oleh kalenjar lakrimasi untuk membersihkan mata. Kebiasaannya apabila air mata yang berlebihan dihasilkan, ia dirujuk sebagai menangis. Kebiasaannya, seseorang itu menangis dikaitkan dengan emosi yang dirasakan.seseorang boleh menangis ketika bersedih dan kesakitan malah kegembiraan juga boleh membuatkan seseorang itu mengalirkan air mata.

Kebiasaannya seseorang akan menangis apabila dia bersedih. aku juga insan yang mudah menitiskan air mata (tanpa menghiraukan pandangan orang yang menyatakan “lelaki tak boleh menangis”). Kadang kala diperli oleh teman sebilik yang mengejek aku apabila menangis menonton drama.

Terdapat banyak kisah yang boleh membuatkan hatiku mudah tersentuh dan air mata menitis ke pipi. Tu sebab tak suka tengok “Bersamamu” depan orang ramai. Takut mengalir air mata. Tengok televisyen boleh nangis, tengok drama boleh nangis, baca novel pun boleh nangis.

Aku tak ingat rancangan pertama apa yang buat aku menangis, aku tak ingat drama pertama apa yang buat aku menangis tetapi aku takkan lupakan novel pertama yang buat aku menangis. Novel berkisar tentang riwayat hidup Khalifah Ar-Rasyidin kedua iaitu Saidina Umar Al-Khattab. Kisah yang bagiku sungguh menyayat hati iaitu ketika beliau menanam anak perempuannya hidup-hidup ketika di zaman jahiliahnya. Dia membawa anak perempuan kecilnya itu ke padang pasir lalu digalinya lubang dengan tangan. Sambil menggali lubang, si anak kecil itu turut membantu ayahnya membersihkan pasir yang melekat pada janggut Umar. Apabila cukup dalam lubang yang digali, Umar terus menolak anaknya ke dalam lubang tersebut dan terus mengkambuskan lubang tersebut sambil si anak meronta meminta tolong. Setelah Umar memeluk Islam, itulah peristiwa yang paling dikesali sepanjang kehidupan beliau. Setiap kali beliau terkenang kejadian tersebut, pasti beliau menangis sehingga basah janggutnya.

Air mata itu salah satu kekuatan. Kekuatan kerana ia kekuatan agar hati kamu menjadi tenang. Mungkin semasa kita bersedih, kita akan menangis dan terus menangis. Tetapi setelah beberapa ketika, air mata yang mengalir itulah yang memberikan kita ketenangan.

Setiap sesuatu itu mempunyai pasangannya. Jika hitam pasangannya putih, hidup pasangannya mati, maka bagiku pasangan bagi air mata ialah senyuman. “Andai semalam kamu kecewa, lepaskanlah segalanya melalui air mata supaya kamu boleh mulakan hari ini dengan senyuman kerana senyuman itu akan memberikan kamu kekuatan untuk menghadapi hari esok”.

Monday, June 27, 2011

Membina asas yang kukuh


Assalamualaikum kepada para pembaca blogku sekalian…

Maaf kerana telah lama tidak menulis. Namun alhamdulillah, diberikan rezeki untuk mencoret sesuatu kembali kepada ruangan ini. Baru-baru ini aku berkesempatan untuk mendengar sebuah tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz di surau kawasan perumahanku. Penyampaiannya mudah dan menarik sekali. Namun, ada satu ketika ketika tazkirahnya yang aku kurang bersetuju. Yang menyatakan keadaan masalah-masalah yang melanda negara sekarang seperti gejala sosial dan kes-kes jenayah adalah kerana keadaan sistem. Jadi di akhir sesi, aku menanyakan kepadanya,”Adakah wajar kita menyalahkan sistem andainya asas kita rapuh? Maksud saya kelemahan institusi kekeluargaan itu sendiri.”

Ya, kamu benar. Tetapi sistem yang menyebabkan jadi begini. Kerana sistem yang sebegini, maka kedua-dua ibu bapa harus bekerja untuk menampung perbelanjaan harian. Kalau tidak, tak cukup dik. Ibu bapa terpaksa bekerja daripada pagi hingga ke petang. Apabila pulang ke rumah, masing-masing dah penat. Jadi tiada masa sangat untuk anak-anak. Kalau ada pun, hujung minggu. Jadi, sistem yang menjadi penaung inilah punca masalah semua ini.

Ingin sekali hati ini terus bertanya tetapi disebabkan kesuntukan masa, aku terpaksa korbankan seketika kehendak hati ini. insyaAllah andai ada rezeki, lain kali aku akan bertanyakan soalan yang “terkubur” itu. Tetapi bagi diriku, aku kurang bersetuju dengan pandangn sedemikian. Bagaimana kita ingin menyalahkan sistem andainya asas kita masih rapuh? Misalnnya, seseorang yang tidak tahu memandu disuruh untuk memandu Ferrari Spyder. Kemudiannya berlaku kemalangan. Adakah salah kereta tersebut atau pemandunya?

Ferrari tadi kita tukarkan kepada sistem pentadbiran negara dan asas itu ialah institusi kekeluargaan. Andai asas rapuh, bagaimana mungkin kita menyalahkan sistem? Ya benar, kesalahan bukan sepenuhnya pada sistem mahupun isntitusi kekeluargaan itu sendiri, sebaliknya lebih kepada diri itu sendiri. Andai jati diri dididik dengan keimanan dan ketakwaan, bukankah itu akan mengahalang seseorang daripada melakukan kerosakan?

Juga tak boleh dinafikan, realiti hari ini menyaksikan kepincangan institusi kekeluargaan itu sendiri. Kes penderaan kanak-kanak, kes sumbang mahram, kes penceraian dan macam-macam lagi kian meningkat dari pandangan statistic. Ini yang menjadi ketakutan bagi jiwa ini. Itu sebabnya pentingnya didikan agama. Bukan pada pengetahuan semata-mata tetapi juga pada pengamatan dan pengamalan. Andai ISLAM itu mekar dalam hati, insyaAllah tiada kerosakan yang berlaku walaupun sistem itu teruk.

Jadi sama-samalah kita perbaiki diri kita agar asas kita kukuh insyaAllah segalanya akan menjadi lebih baik.

Powered by Blogger.

Popular Posts