Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Assalamualaikum kepara para pembaca yang sudi menjenguk ke blog yang tidak seberapa ini. Alhamdulillah, kini telah 18 hari Ramadan berlalu. Fasa kedua (fasa keampunan) kian melabuhkan tirai dan kini Ramadan kian menghampiri fasa terakhir. moga Allah memberikan kita kesempatan untuk terus merasai nikmat iman dan Islam agar dapat merasai hari-hari terakhir bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai peristiwa telah berlaku. Ada yang gembira, ada yang sedih. Tetapi bukan itu yang ingin dikisahkan pada entri kali ini. Saya pasti ada di antara anda yang telah menonton rancangan “Ini Kisahku” di TV9 yang memaparkan beberapa kisah insan yang telah diberi hidayah untuk kembali ke jalan yang benar dan menjadi Muslim atau Muslimah yang lebih baik. Apabila menonton rancangan tersebut, terdetik hati ini untuk menulis kisah sendiri. Bukan untuk membuka pekung di dada apatah untuk mendabik dada, tetapi hanya sekadar tazkirah yang boleh diberikan pada diri ini satu ketika nanti.
Aku membesar dalam sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Mungkin kurang daripada segi kekayaan tetapi kedua ibu bapaku tidak kurang memberikan aku kasih sayang. Sepanjang aku membesar, aku diberikan pendidikan dunia dan akhirat. Namun hatiku tidak pernah terbuka untuk mendekati atau pun mendalami ilmu agama walaupun sedikit. Aku masih membaca Quran dan menunaikan solat, tetapi tak pernah terdetik dahulu untuk mengetahui apa yang ditulis dalam kitab suci itu. Aku juga sangat-sangat jarang untuk belajar solat berjemaah di surau. Aku hanya ke masjid untuk Solat Jumaat. Itupun hanya sekadar solat, dan bukannya duduk mendengar khutbah yang disampaikan. Begitulah kehidupanku.
Aku juga sangat jauh bersahabat dengan rakan-rakan sebaya daripada bangsa yang sama. Ya benar. Aku tidak rapat dengan sahabat-sahabat yang berbangsa Melayu. Kerana kebanyakan remaja berbangsa Melayu di kawasan perumahanku ketika itu agak buruk akhlaknya (hisap rokok dan melepak). Jadi, ibu bapaku mengawal aku daripada bergaul rapat dengan mereka. Dan di sekolah pula, aku lebih banyak bersahabat dengan pelajar bangsa Cina kerana majoriti pelajar di sekolahku adalah berbangsa Cina. Jadi, disebabkan persekitaran begitu, aku tiada sahabat yang mengajak aku untuk mendekati Islam.
Selepas mendapat keputusan SPM, aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah. Pada saat awal aku menjalani kehidupan disitu, agak susah bagiku untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan Islamik yang menjaga batas pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan. Lelaki akan melakukan aktivit bersama pelajar lelaki sahaja dan perempuan akan bersama kaum mereka. Memang berbeza sekali dengan sekolah menengahku. Malah, kesemua rakan sebilikku adalah berbangsa Melayu dan menambahkan kekekokanku hidup dalam komuniti bangsaku sendiri. Macam cacat otak je aku ni kan?
Kehidupanku begitu terseksa. Aku tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengalaman baru ini. Namun, hari berganti hari, aku cuba berusaha untuk menyesuaikan diri dengan teman sebilik, dengan teman kuliah dan teman sekelas. Dan ketika di matrikulasi inilah aku belajar untuk rajin ke surau. Rajin untuk berjemaah walaupun kadang-kala masih ponteng dan hanya sekadar solat di bilik. Hari demi hari alhamdulillah, kaki ini rajin sedikit untuk solat berjemaah. Namun, perubahan terbesar ketika itu bukanlah aku rajin untuk ke surau tetapi aku mula menerima rakan yang berbangsa Melayu. Semuanya kerana teman sebiliku. Entah mengapa jika dahulunya aku prejudis terhadap remaja-remaja Melayu, segalanya berubah kerana budak seorang ini. Nak cakap baik sangat, tak juga. Nak cakap teruk, pun tak juga. Tetapi aku mula mengubah pandanganku apabila aku sering melihat dia khusyuk membaca ayat Al-Quran. Kebiasaannya dia akan membaca Quran selepas solat Subuh dan Asar. Kalau rajin, setiap kali lepas solat. Hati ini tertarik apabila melihat dia khusyuk membaca dan membuatkan aku terdetik bahawa bukan semua remaja Melayu itu buruk akhlaknya.
Malah, budak seorang inilah yang sering memerliku apabila aku “buta” sejarah Islam. Bila ditanyanya -aku tokoh-tokoh Islam, aku terdiam tiada jawapan. Apabila aku lewat untuk bangun Subuh, inilah juga insan yang berusaha mengejutkan aku sampai ditendang-tendang katilku. Dan kenangan yang paling best dan tidak mungkin aku lupakan bersama dia ialah tibanya bulan Ramadan. Member tazkirah dikala bersahur dan berbuka, bertukar giliran membeli juadah berbuka. Itulah sifatnya yang membuatkan aku mengubah 100% pandanganku terhadap bangsa Melayu.
Kemudian aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Pahang dalam jurusan yang tidak pernah kuminati. Ketika itu, aku merasakan inilah hukuman yang Allah berikan kepada aku kerana leka dengan dunia. Rupa-rupanya inilah antara perancangan Allah yang terbaik dalam hidup ini. Jika disangkan KMNS adalah Islamik, rupanya UMP lagi Islamik. Beserta sebuah organisasi masjid yang dipangsil Sahabat Masjid (SAHAM) membuatkan gerakan dakwah lebih kuat berbanding matrikulasi dulu yang kalau ada pun tidak terasa auranya. Disebabkan aku masih lagi “rabun” agama, aku tidak bergaul sangat dengan budak-budak masjid yang kadang-kala kulihat tertutup pemikirannya. Namun Allah rencanakan aku untuk menyertai sebuah badan sukarelawan yang dipanggil In-Smartive. Persatuan ini ditadbir oleh insan-insan yang agak Islamik tetapi tidak terlalu hard core. Cumanya masih menjaga batasan.
Aku dipertemukan dengan insan-insan yang banyak membantuku untuk berubah kepada kebaikan. Walaupun pada awalnya aku berubah kerana seorang manusia, akhirnya aku sedar bahawa bukan dia yang akan membahagiakan aku walaupun aku berjaya memilikinya. Sepanjang aku menaruh hati padanya, Allah menunjukkan aku kemanisan mengenal Dia. Allah tunjukkan kasih manusia itu tidak semestinya berbalas tetapi sesiapa yang cuba mengenali Dia, comfirm 100% Dia akan “membayarnya” sama ada secara tunai atau ansuran.
Sepanjang tempoh itu, aku “diperkenalkan” oleh Allah seorang Muslimah yang sering kali menegur tatkala aku melakukan kesilapan. Sesuatu yang jarang dilakukan kepadaku oleh mana-mana rakanku. Kadang-kala teguranya secara langsung, kadang kala tegurannya berkias (menyebabkan dia bertambah marah padaku kerana aku kurang cepat menangkap maksud penyampaiannya). Dialah yang paling baik denganku, tetapi dia jugalah paling garang dan menakutkan bagiku. Andai apa yang aku tersalah buat, dialah insan pertama yang akan sound directly padaku. Berapa kali telah aku buat dia menangis (banyak sangat sampai tak ingat) tetapi tetap dia sedia berada bila aku memerlukan seseorang untuk menasihatiku. Perwatakannya yang baik tetapi menakutkan memang menjadikan dia akak angkatku yang paling menakutkan. (nasib baik bukan akak kandung. Kalau akak kandung, dah mati kot aku kena belasah je dengan dia). Alhamdulillah, sehingga hari ini, dia masih terus tak putus memberikan teguran. (mampos aku kalau dia baca part ni..hihi)
Kini aku masih lagi bertatih mencari hidayah Allah. Mengenal Dia dan sifat-sifatNya. Mengenal kekasihNya yang bernama Muhammad. Belajar untuk menghidupkan amalan-amalan hari Rasulullah itu mudah sekali rupanya. Cuma kadang-kala hati ini sahaja yang enggan. Jika dahulu aku mengagung-agungkan kisah sejarah Barat, rupa-rupanya tiada sejarah yang lebih baik daripada sejarah rasulullah dan para sahabatnya. Jika dahulu aku mengagung-agungkan kisah cinta “Romeo & Juiet” yang dipromosi Barat, rupa-rupanya ada kisah percintaan yang lebih manis dalam sejarah Islam seperti kisah cinta Rasulullah dan Khadijah dan Ali Abu Talib dan Fatimah Azzahra yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pada hari ini.
Ya Allah,
Aku insan yang hina lagi lemah segalanya
kepadaMu aku mohon segalanya
terimalah taubatku dengan amalan yang tak seberapa ini
ampunkanlah dosa-dosaku yang tinggi melangit
ampunkan dosa-dosa kedua ibu bapaku, ahli keluargaku, sahabatku, guruku dan umat Islam yang lain
aku juga inginkan hidayahMu
aku juga ingin menjadi hamba yang telah Kau anugerahkan kemanisan sujud padaMu
ampunkan aku ya Tuhanku…
0 comments:
Post a Comment