Featured Article

Friday, August 13, 2010

Ketibaan yang dinanti...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca blogku yang masih setia (poyo je ayatnya)

Setelah hampir sebulan aku tidak mengarang. Begitu lama ketandusan idea menulis, alhamdulillah akhirnya kini aku kembali ke dunia blog. Entri kali ini bertajuk "Ketibaan yang dinanti.". Ketibaan yang dinanti ini apatah bukan lagi jika bukan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua insan beriman pada Allah SWT. Mengapa ia dinanti-nantikan? Ketibaan Ramadhan ditunggu oleh hati-hati yang mencintai Allah kerana Allah telah menjanjikan begitu banyak pahala dalam bulan ini. Yang sunat setaraf yang wajib dan yang wajib berganda-ganda daripada yang biasa. Subhanallah,begitu banyak pahala yang telah Allah janjikan.

"Adik suka tak bulan puasa?"
"Suka dan tak suka."
"Kenapa macam tu pulak?"
"Tak suka sebab kena tahan lapar. Suka sebab ada banyak makanan yang boleh dimakan."
Itu adalah fenomena biasa yang mungkin kita pernah lalui sendiri. Puasa hanya dilihat sebagai sebuah platform menahan lapar dan dahaga semata-mata. Namun, apabila kita meningkat dewasa, pemikiran bertambah matang, alhamdulillah, kita mengerti mengapa kita berpuasa.

"Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu,agar kamu bertakwa" (Surah Al-Baqarah:Ayat 183)

Apakah dijadikan ramadhan sebagai platform sekadar menahan lapar dahaga? Bukanlah layak untuk aku menegur insan lain namun aku rasa perlu untuk aku menyampaikan sekadar peringatan pada diri yang hina ini. Semoga Ramadhan kali ini mendidik jiwa aku agar lebih merendah diri,mengenal erti berfikir sebelum berkata-kata, dan belajar menahan nafsu,tidak kira marah ataupun makan (aku ni kuat makan sangat). Aku tidak mahu tergolong dalam "Insan Hipokrit" yang sekadar menjejakkan kaki ke surau atau masjid hanya ketika bulan Ramadhan. Semoga aku dapat mengambil sebanyak ilmu yang mampu sepanjang bulan ini dalam mentarbiahkan diri yang serba kekurangan lagi hina ini.

Ada juga insan-insan yang berstatus Islam pada kad pengenalan namun kurang keimanannya pada perwatakannya. Jika kita menganggap hanya yang muda "ponteng",lebih teruk lagi ada jua yang "rumah kata pergi kubur kata mari" yang masih lagi memontengkan diri dengan berbagai-bagai alasan. Bukanlah ingin kukatakan aku ini kuat dari godaan,namun kepada mereka yang masih memontengkan diri berpuasa,ambillah pengajaran daripada peristiwa Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan di mana umat Islam yang sedang berpuasa dengan kekuatan tentera seramai 313 orang menentang lebih daripada 1000 tentera bukan Islam dan mendapat kejayaan. Betapa kuatnya cinta mereka pada Islam sehingga boleh berperang bergadai nyawa demi agama tercinta. Takkanlah sekadar menahan lapar dahaga pun tak mampu? Tepuk dada tanya iman...

Juga dengan pemergian sahabatku,Wandi yang telah dijemput menghadap Sang Pencipta hanya dua hari sebelum ketibaan Ramadhan benar-benar mengejutkan aku. Kenangan terakhir aku bersama arwah ialah semasa program Sky High bersama pelajar MRSM Pekan kira-kira sebulan yang lalu. "Setiap yang bernyawa pasti merasai mati.". Semoga arwah ditempatkan bersama insan-insan yang beriman.Amin.

Ramadhan juga merupakan bulan pengerat ukhuwah ku bersama Fahmi. Begitu kerap kusebut namanya kerana dia banyak mengajar aku ketika tiba Ramadhan semasa aku di matrikulasi dahulu. "Kau tahu kenapa Ramadhan juga membawa kegembiraan pada orang yang telah meninggal?Sebab Munkar & Nakir buat pengunguman,kita akan cuti sebulan.(Seksaan kubur akan ditangguhkan sepanjang Ramadhan.)" Ini merupakan salah satu tazkirah yang diberi padaku dahulu.

Begitu banyak kenangan dan pengajaran yang boleh diambil semasa Ramadhan ini. Moga sama-sama kita berusaha dalam mentarbiahkan jasad dan jiwa kita dalam menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lalu,insyaAllah.
Powered by Blogger.

Popular Posts