Sunday, September 11, 2011

Dipandang hina

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca yang masih sudi bertandang ke blog yang seba kekurangan ini. Alhamdulillah, tiba-tiba pada pagi ini diberikan rezeki untuk menaip sebagai coretan baru di sini. Namun sebelum itu, marilah kita mengucapkan syukur terlebih dahulu atas nikmat nyawa untuk terus hidup, ISLAM sebagai agama dan IMAN di dalam hati. Alhamdulillah…

Kali ini aku berminat untuk menulis apa yang terjadi sepanjang tempoh aku senyap dari dunia penulisan (macam lama sangat). Bermula dengan insiden “Orang Miskin Diperlekeh Oleh Orang Kaya”. Ya, aku bukan lahir daripada keluarga yang senang. Tiada kereta, rumah banglo, wang ringgit beribu di dalam akaun bank. Namun alhamdulillah, keluargaku adalah antara salah satu contoh dalam berjuta keluarga di Malaysia yang kesederhanaan dalam kekurangan (entah macam mana la tu). Tetapi mungkin dipandang mewah bagi yang segolongan dan dipandang miskin dan hina bagi mereka yang kaya.

Insiden tersebut terjadi apabila seseorang memperlecehkan keluargaku. Ketika itu yang berdepan dengan situasi tersebut ialah adikku. Jadi bila dikesan perubahan perwatakannya beberapa hari, baru dia menceritakan apa yang terjadi. Tatkala aku mendengar ceritanya, hatiku tersenyum walaupun aku melihat adikku menangis bila diperlecehkan begitu. Lalu aku menghubungi kakakku lalu bertanya “Akak, orang miskin memang selalu dihina dan diperlecehkan oleh orang kaya ke?”. Dia menjawab, “Ya, kenapa?”. Tatkala itu baru terdetik , ingatkan benda sebegini hanya berlaku dalam drama dan filem. Rupanya memang terjadi dalam masyarakat.

Jadi ketika itu, aku berfikir, mengapa masih wujud orang kaya sebegini? Apakah kamu menyangka yang kamu itu terlalu kaya hingga boleh menghina kami yang miskin ini? Maaf wahai saudari, hati keluargaku mungkin menangis kerana penghinaan yang kau berikan, namun jika aku menangis dengan bicaramu itu, tentu aku menangis kerana kau lupa kau juga miskin. Kau miskin bahasa, kau miskin adab, kau miskin akhlak. Andainya penghinaan itu kau tuturkan di hadapanku, dengan pastinya, insyaAllah aku akan menghina kau kembali. (nama je kanak-kanak riang, tapi memang jahat je aku ni.haha)

Itulah sebabnya mengapa saya tidak mahu berkahwin awal. Saya mahu mencari kekayaan bagi mengambil kembali maruah keluarga yang dihina kerana miskin”. Kata-kata tersebut membuatkan aku untuk berfikir apakah aku juga perlu begitu? Mengejar kekayaan dunia bagi mendapatkan kembali maruah keluarga setelah dihina dan dipandang rendah hanya kerana aku miskin (tapi bagi aku sederhana)? Adakah aku perlu mencari sebanyak mungkin harta, menjadi materialistik dalam kehidupanku?

Apabila aku tiba-tiba menyatakan hasrat untuk mengejar cita-citaku dan ingin menjadi materialstik sebelum berfikir untuk berkahwin, ada yang menyokong walaupun dalam kehairanan. Kerana memang sahabat-sahabatku tahu bahawa aku sangat gemar untuk berbicara soal perkahwinan kerana memang niatku untuk berkahwin awal. Jadi ada yang bertanya, “Kenapa tiba-tiba nak jadi materialistik? Sebab dipandang hina kerana miskin?”. Bukan itu sebabnya wahai sahabatku. Aku tak segan dipandang hina kerana miskin kerana aku tak miskin. Ya mungkin serba kekurangan tetapi aku masih kaya. Allah masih berikan aku cahaya kegembiraan dalam hatiku. Allah kurniakan aku sahabat-sahabat yang akan berada disisiku dikala aku memerlukan mereka. Allah kurniakan aku kakak angkat yang sangat baik. Jadi ertinya aku kaya.

Jadi selama beberapa hari itulah cita-cita baruku. Menjadi kaya bagi berupaya memiliki apa yang aku mahukan di dunia ini. namun, angan-angan menjadi materialistik itu hanya kekal bebrapa hari. Hahaha. Segalanya musnah apabila aku menonton sebuah rancangan realiti di televisyen yang memaparkan sepasang pasangan tua yang hidup sangat kekurangan. Jika dibandingkan kehidupan keluargaku yang dikatakan miskin ini, nescaya mereka berkata bahawa aku hidup mewah umpama raja. Apa yang membuatkan impianku untuk menjadi materialistik musnah apabila dia dia berkata ”Mungkin kehidupan saya tidak semewah ahli politik atau sesiapa yang hidup di bandar, tetapi mereka tiada pemandangan di rumah mereka seindah rumah saya.”. Riak wajah ketenangan masih terpancar di wajahnya dalam bicaranya itu.

Lihat sahaja berapa ramai orang yang hidup mewah, namun hilang ketenangan. Hilang kegembiraan dalam jiwa mereka. Jadi rasanya, mungkin aku masih lagi akan mengejar niatku untuk berkahwin awal tetapi mungkin aku akan mengejar cita-citaku dahulu. Namun, juga pesanan kepada diriku, walaupun impian dikejar, jangan sesekali menjadi materialistik. Orang tidak memandang kekayaan dunia yang dimiliki, tetapi orang mengidamkan kegembiraan dalam hati. Orang pernah pesan, “Ketenangan hati itu boleh ditemui dalam dua, sujudmu dan bacaan Quran”.

1 comments:

WaFa' aN-NiSa' said...

wah..best penulisan kmu kali ni.