Sunday, September 18, 2011

Pemimpin Berwibawa?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Seorang pemimpin itu memerlukan ilmu dan pengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan untuk membangunkan negara”. Itulah antara butir bicara YAB Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Majlis Syarahan Umum yang berlangsung di UMP beberapa hari yang lalu. Tajuk yang diberikan kepada beliau dikatakan tepat pada masa dan ketikanya dengan melihat perubahan-perubahan pentadbiran dan kepimpinan pemimpin-pemimpin dunia.

Di saat isu kepimpinan negara-negara Timur Tengah yang hangat diperkatakan di media massa yang mana ada yang telah digulingkan, tajuk “Cabaran Kepimpinan Masa Hadapan” adalah topik yang amat sesuai. Alhamdulillah, syarahan yang disampaikan oleh bekas pemimpin no 1 negara tersebut berjaya disampaikan berdasarkan pengalaman luas dan pandangan peribadi beliau.

Berbagai-bagai pesanan disampaikan kepada kaum muda selaku bakal pemimpin negara satu ketika nanti dalam cabaran-cabaran yang harus dihadapi sebagai seorang pemimpin. Namun, atas apa tahap jua pentadbiran, apa yang penting bagi seorang pemimpin ialah ilmu dan pengalaman. Kerana dengan dua elemen tersebut, seorang pemimpin yang berwibawa dapat dilahirkan. Dengan ilmu dan pengalaman dapat memerah otak seorang pemimpin untuk berfikir dan bertindak dengan cara yang bersesuaian bagi menyelesaikan sesuatu rintangan yang dihadapi.

Pentadbiran dunia diisi dengan pelbagai corak pentadbiran. Ada yang lembut, ada yang kejam. Ada pemimpin yang mentadbir selama berpuluh tahun, ada juga yang hanya seketika. Walau selama mana tempoh “kuasa” seorang pemimpin, tempoh itulah yang akan menilai tahap kepimpinan seorang ketua. Contohnya, Umar Abdul Aziz, seorang pentadbir negara yang juga digelar Khalifah Ar-Rasyidin kelima hanya mentadbir selama dua tahun tetapi sepanjang tempoh pentadbirannya, alhamdulillah rakyat beliau hidup sejahtera sehinggakan tiada seorang pun daripada rakyatnya yang mahu menerima zakat kerana mereka mampu menyara kehidupan keluarga tanpa bantuan zakat.

Namun, ada juga pemimpin yang memusnahkan jajahannya sendiri. Seperti mana yang berlaku di China suatu ketika dahulu ketika negara tersebut mengamalkan dasar “tutup pintu”. Tindakan beliau yang disangka dapat membangunkan negara hanya dengan bergantung pada putaran wang dalam negara telah menyebabkan China antara negara yang mundur satu ketika dahulu. Kemudian setelah bertukar pemimpin, barulah dasar tersebut dibatalkan dan menjadikan China kuasa ekonomi dunia yang baru.

Sesuatu tindakan seorang pemimpin akan menentukan tahap kematangannya dalam mentadbir. Andai bijak seorang pemimpin, insyaAllah pentadbiran akan memajukan organisasi. Sebaliknya jika seorang pemimpin berfikiran tertutup, organisasi pasti akan hancur perlahan-lahan. Benar kata orang “Hanya yang melalui akan merasa pengalaman”. Sejarah ISLAM mengisahkan ratusan pemimpin berkaliber yang nama mereka akan terus disebut sampai bila-bila. Dan antara ciri pemimpin-pemimpin ini adalah mereka boleh menerima kritikan dan pandangan orang lain.

Sejarah pernah menceritakan semasa pentadbiran Saidina Umar Al-Khattab, beliau pernah ditegur di hadapan khalayak ramai tentang tindakannya untuk menetapkan harga mahar. Dan beliau dengan tenang menerima teguran tersebut dan mengakui salahnya. Namun kini, dunia agak berbeza. Walaupun naik sebagai seorang pemimpin atas nama “agama”, tidak ramai antara mereka yang berupaya menerima teguran orang lain, apatah lagi daripada orang yang bukan daripada sama kumpulan. Tidak salah jika kita berbeza pandangan atas sesuatu tetapi ia menjadi kesalahan apabila seorang pemimpin terus menidakkan kata orang lain tanpa melihat kebaikan yang cuba disampaikan.

Seorang pemimpin dikatakan perlu bertidak matang dalam membuat keputusan dan sentiasa berusaha untuk mengambil kebaikan yang ada pada setiap pandangan orang bawahan. Tetapi kalau hanya kata sendiri atau dari kumpulan sendiri sahaja yang diterima, lupakan sahaja. Sepanjang tempoh diberi peluang terlibat dengan pengurusan sebuah organisasi, pelbagai jenis kepimpinan telah aku saksikan. Mungkin diri ini tidak layak berkata banyak tetapi cuma sekadar ingin menegur kekurangan seperti mana orang pernah berkata “jangan dinilai siapa yang menyampaikan tetapi pandanglah apa yang disampaikan”.

0 comments: