Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum diucapkan kepada pengunjung yang masih lagi tidak jemu berkunjung ke blogku ini. Bagaimana kesihatan para pembaca? Sihat sejahtera? Alhamdulillah aku ucapkan bagi yang sihat, dan semoga cepat sembuh bagi yang diuji kesakitan. Andai jasad sakit sekalipun, jangan dibiar jati diri kita sebagai seorang Muslim dan beriman juga sakit. Biarlah 2 nikmat itu terus sihat dalam jiwa kita, insyaAllah.
Kali ini berminat untuk menulis tentang sifat pemurah. Biasanya seorang manusia dikatakan seorang yang pemurah apabila dia selalu bersedekah dan tiada manusia lebih pemurah daripada Rasulullah. Ramai sahabat yang kaya daripada baginda juga mengikut perbuatan baginda seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan ramai lagi. Sifat pemurah ini bukan sahaja hanya pada mereka yang beragama ISLAM tetapi juga pada insan daripada agama lain. Kerana sifat yang baik itu adalah sifat fitrah seorang manusia yang suka pada kebaikan.
Dan tiada yang lebih pemurah daripada Ar-Rahman (Maha Pemurah). Dialah yang memberikan segalanya. Pada yang mentaatiNya ataupun pada mereka yang mengingkari perintahNya. Dialah pemberi segala nikmat. Lihat pada tubuh badan sendiri juga telah terdapat pelbagai keajaiban dunia. Andai monumen-monumen pembinaan manusia pada zaman dahulu dikatakan Wonders of The World seperti Piramid, Tembok Besar China, dan Taj Mahal, tubuh kita juga mempunyai banyak keajaiban dunia iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, hidu dan rasa. Bayangkan kehidupan anda yang selama ini penuh dengan warna warni tiba-tiba gelap gelita, bayangkan kehidupan anda yang tidak mampu merasai apa yang anda sentuh, menghidu wangian bunga, merasa makanan yang lazat. Itu baru hanya lima deria tubuh. Bagaimana pula dengan nikmat anggota tubuh badan yang sempurna dan sihat. Mampukah kamu bayangkan jika kehidupan kamu jika tangan dan kaki kamu tiada? Bagaimana kamu akan bersukan, bagaimana hendak makan, bagaimana untuk kamu jalani kehidupan kamu yang sebelum ini sihat sempurna tetapi kamu abaikan nikmat tangan dan kaki itu?
Beberapa hari yang lalu aku telah menonton salah satu episod The Oprah Winfrey Show yang mengisahkan tentang seorang pasangan, Chris dan Lori Coble yang kehilangan tiga orang anak mereka dalam sebuah kemalangan kereta. Nak tahu kisah, klik sini.
Lihatlah betapa pemurahnya Dia. Segalanya adalah milikNya, jika Dia berkehendak untuk menarik apa yang diberi, tiada tangan yang boleh membantu dan jika Dia berkehendak untuk member, tiada tangan yang boleh menghalang. Ya, kita bukan Tuhan untuk berikan apa yang kita ada kerana apa yang kita ada bukan hak mutlak kita sebaliknya adalah milikNya. Tetapi kita boleh tiru sikit dengan member apa yang kita mampu. Bak kata Ustaz Hasrizal dengan mottonya, “Hidup untuk memberi”.
0 comments:
Post a Comment