Monday, June 27, 2011

Membina asas yang kukuh


Assalamualaikum kepada para pembaca blogku sekalian…

Maaf kerana telah lama tidak menulis. Namun alhamdulillah, diberikan rezeki untuk mencoret sesuatu kembali kepada ruangan ini. Baru-baru ini aku berkesempatan untuk mendengar sebuah tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz di surau kawasan perumahanku. Penyampaiannya mudah dan menarik sekali. Namun, ada satu ketika ketika tazkirahnya yang aku kurang bersetuju. Yang menyatakan keadaan masalah-masalah yang melanda negara sekarang seperti gejala sosial dan kes-kes jenayah adalah kerana keadaan sistem. Jadi di akhir sesi, aku menanyakan kepadanya,”Adakah wajar kita menyalahkan sistem andainya asas kita rapuh? Maksud saya kelemahan institusi kekeluargaan itu sendiri.”

Ya, kamu benar. Tetapi sistem yang menyebabkan jadi begini. Kerana sistem yang sebegini, maka kedua-dua ibu bapa harus bekerja untuk menampung perbelanjaan harian. Kalau tidak, tak cukup dik. Ibu bapa terpaksa bekerja daripada pagi hingga ke petang. Apabila pulang ke rumah, masing-masing dah penat. Jadi tiada masa sangat untuk anak-anak. Kalau ada pun, hujung minggu. Jadi, sistem yang menjadi penaung inilah punca masalah semua ini.

Ingin sekali hati ini terus bertanya tetapi disebabkan kesuntukan masa, aku terpaksa korbankan seketika kehendak hati ini. insyaAllah andai ada rezeki, lain kali aku akan bertanyakan soalan yang “terkubur” itu. Tetapi bagi diriku, aku kurang bersetuju dengan pandangn sedemikian. Bagaimana kita ingin menyalahkan sistem andainya asas kita masih rapuh? Misalnnya, seseorang yang tidak tahu memandu disuruh untuk memandu Ferrari Spyder. Kemudiannya berlaku kemalangan. Adakah salah kereta tersebut atau pemandunya?

Ferrari tadi kita tukarkan kepada sistem pentadbiran negara dan asas itu ialah institusi kekeluargaan. Andai asas rapuh, bagaimana mungkin kita menyalahkan sistem? Ya benar, kesalahan bukan sepenuhnya pada sistem mahupun isntitusi kekeluargaan itu sendiri, sebaliknya lebih kepada diri itu sendiri. Andai jati diri dididik dengan keimanan dan ketakwaan, bukankah itu akan mengahalang seseorang daripada melakukan kerosakan?

Juga tak boleh dinafikan, realiti hari ini menyaksikan kepincangan institusi kekeluargaan itu sendiri. Kes penderaan kanak-kanak, kes sumbang mahram, kes penceraian dan macam-macam lagi kian meningkat dari pandangan statistic. Ini yang menjadi ketakutan bagi jiwa ini. Itu sebabnya pentingnya didikan agama. Bukan pada pengetahuan semata-mata tetapi juga pada pengamatan dan pengamalan. Andai ISLAM itu mekar dalam hati, insyaAllah tiada kerosakan yang berlaku walaupun sistem itu teruk.

Jadi sama-samalah kita perbaiki diri kita agar asas kita kukuh insyaAllah segalanya akan menjadi lebih baik.

0 comments: