Monday, July 11, 2011

Mencari hati yang hilang...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum diucapkan kepada para pembaca. Mesti ada yang tertanya-tanya “Ke mana pula perginya hati Yien sampai dia nak cari ini? Ke dah dicuri orang?”. Benar persoalan kamu itu, hati ini telah hilang. Hilang diculik seseorang yang istimewa (jangan ditanya siapa penculiknya). Akan tetapi bukan itulah sebabnya aku menulis entri ini.

Entri kali ini adalah untuk membincangkan serba sedikit tentang apa yang berlaku waktu ini sama ada berlaku di hadapan mata ataupun bukan. Pada minggu ini aku diberi kesempatan untuk menyaksikan dua kejadian yang sungguh berbeza. Satunya aku melihat seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang hadir ke surau untuk solat Asar. Aku tidak pasti dia hadir bersama siapa tetapi yang penting dia hadir untuk berjinak-jinak dengan masjid. Walaupun cara solatnya hanyalah berdasarkan apa yang ditiru pada orang sebelah, namun sekurang-kurangnya dia belajar meniru untuk solat. Peristiwa kedua, ialah yang mana aku melihat anak-anak remaja yang masih duduk melepak bersama rakannya sambil bermain gitar di kawasan padang sedangkan azan Isyak baru sahaja lepas berkumandang.

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah shollallôhu ‘alaihi wasallam bersabda: ”Barang siapa diantaramu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ~ H.R. Muslim

Lemahnya imanku ya Allah. Aku hanya mampu melihat mereka sebegitu.

Bagi si adik yang berusia 6 tahun tadi, (walaupun abang tahu kamu tak baca blog ini) abang nak cakap yang abang dengki dengan kamu. Sungguh abang dengki. Dengki kerana abang tercabar. Tercabar kerana abang sendiri jarang ke surau walaupun kematian abang makin hampir. Lepas ini, harap abang lebih rajin ke surau, bagi adik-adik remaja, aku memohon maaf kepada kamu semua kerana tidak menegur kalian. Lidah ini seakan kelu bila berhadapan dengan kalian. Mungkin kerana kita tidak pernah berkenalan, namun sepatutnya bukan itu yang menjadi alasanku. Aku patut menegur kalian tanpa alasan apa sekali pun. Jadi maafkan aku.

Kini kita telah menyaksikan perhimpunan BERSIH 2.0 yang telah dijalankan pada 9 Julai di sekitar Bandar raya Kuala Lumpur. Jalan-jalan utama ke Bandar ditutup, orang ramai berhimpun dan bergerak sambil melaung-laungkan “Hidup, hidup. Hidup Rakyat”, barisan pihak polis yang bersedia dengan kelengkapan seperti gas pemedih mata. Ada yang menyatakan BERSIH yang salah kerana menganjurkan perhimpunan haram, ada yang berkata pihak polis yang salah kerana bertindak kejam. Sedarkah bahawa di sini berlakunya kepincangan rakyat? Kepincangan ummat? Semuanya kerana berbeza pandangan. Masing-masing menyatakan mereka benar dan pihak yang lagi satu salah. Tidak salah jika saya katakan hati mereka hilang. Entah ke mana hilangnya hati mereka. Mustahil diculik seperti saya.

Dalam majalah SOLUSI edisi 33 baru-baru ini telah dipaparkan tajuk utama berkenaan “Rapuh Iman, Runtuh Perpaduan”. Jika dilihat dari sudut Perhimpuan BERSIH, memang perpaduan kita rapuh. Bukan hanya perpaduan dengan kaum lain tetapi sesame saudara seagama sendiri. Rapuhkah iman kita? Nauzubillah min zalik. Angah saya pernah mengatakan “jaga hubungan dengan Allah, insyaAllah hubungan sesama manusia akan terjaga”. Andai kita menjaga perhubungan dengan Sang Pencipta, Dia akan membantu kita untuk menjaga hubungan kita dengan orang lain.

Marilah sama-sama wahai saudaraku. Kita bangun mencari hati yang hilang demi mencapai cintaNya. Ya, ia bukan mudah kerana itu ia dipanggil perjuangan. Ada pepatah pernah menyatakan “Untuk melihat kejayaan sebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya”. Kalau generasi muda kini kian rosak, apakah akan ada harapan pada masa depan bagi negara? Marilah kita berusaha agar kita menarik anak-anak muda kini dekat dengan Pencipta,mengenal manisnya berjemaah, menambah ilmu dunia dan akhirat, mencari hati yang hilang.

2 comments:

WaFa' aN-NiSa' said...

serahkan hatimu pada tuhan, bukan pada manusia yang belum pasti menjadi milik kamu...kelak kamu akan kecewa, kerana hati itu hanya milik sang Pencipta kita...dan carilah keredhaan Allah, biarpun dibenci manusia, tetapi jangan mencari pengaruh manusia sehingga mendatangkan kemurkaan Allah..

Seven said...

benar hati itu milikNya.jadi jom kita sama2 mencari..hihi..tp kan kak, mcm sian plak tgk bdk2 remaja tu..huhu..xtau nk ckp mcm mane ngn dorng...