Monday, November 21, 2011

jealousy is a gift


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang masih berterusan berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, jari-jemari ini menaipkan rasa syukur di hati kerana masih diberikan kesempatan untuk mencoret bicara hati di sini. Juga tak lupa, bersyukur kerana diberikan nikmat IMAN dan ISLAM, dua nikmat terbesar dalam hidup seorang MUSLIM. Seperti yang pernah diperingati dahulu, blog ini adalah luahan hati. Andai ada kesilapan, tegurlah. Kerana yang baik itu semua dariNya, yang kurang itu kerana kelemahan diri ini sendiri.

Kali ini terdetik untuk menulis bicara cemburu. Apabila bercakap soal cemburu, kebiasaannya orang akan menuduh yang wanita itu lebih cenderung untuk berasa cemburu. Malah, banyak juga kisah-kisah sejarah yang mencatatkan perasaan cemburu seorang wanita. Misalnya, perasaan cemburu isteri Rasulullah iaitu Aisyah kepada madu-madunya. Malahan, dicatat di dalam hadis yang Aisyah terlalu mencemburui Khadijah yang telah lama meninggal dunia apabila Rasulullah masih berterusan menyebut namanya.

Namun, janganlah dilupa bahawa lelaki juga mempunyai perasaan cemburu. Tidak percaya? Antara kisah-kisah cemburu seorang suami ang dicatat dalam sejarah:

Kisah 1 – Umar yang mencemburui isterinya
Umar al-Khattab pernah mencemburui isterinya yang pergi keluar ke masjid untuk solat berjemaah. Daripada riak wajahnya, isterinya tahu bahawa Umar cemburu. Lalu isterinya berkata “Andai kanda melarang, dinda tidak akan pergi.” Umar hanya diam sahaja kerana teringat pesan kekasih Allah yang bermaksud, “Janganlah kalian menghalang para wanita pergi ke masjid.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud)

Kisah 2- Rasulullah yang mencemburui Mariah al-Qibtiyya
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abdul Rahman Syamasah al-Mahri daripada Abdullah bin Umar, ketika Mariah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat keluarganya dari Mesir sering menziarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersama. Rasulullah pun berasa cemburu dan keluar dengan riak wajah yang berubah. Kemudiannya, baginda bertembung dengan Umar. Apabila Umar perasan yang Rasulullah memendam sesuatu, lantas ditanya kepada baginda. Lalu Rasulullah menjawab yang baginda cemburukan kerabat Mariah.

Umar lalu menghunus pedangnya dan mencari lelaki tersebut. Lelaki itu menyingkap keadaan zakarnya yang telah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya lalu kembali kepada Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah dating kepadaku dan melepaskan Mariah dan kerabatnya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Maka, lihatlah wahai dunia. Lelaki soleh juga boleh cemburu. Kerana cemburu itu sifat fitrah seorang manusia tanpa mengira jantina. Baik lelaki ataupun perempuan. Bukankah cemburu itu tanda sayang? Apabila menyayangi pasangan, pasti terbit rasa cemburu itu. Cemburu itu fitrah, namun janganlah cemburu buta dan melampau. Ia hanya akan menyakiti diri anda dan pasangan. Cemburu itu tidak salah, tetapi menjadi kesalahan apabila dilayan dengan emosi yang melulu.

Pernah terjadi di hadapanku sendiri yang mana melihat seorang kawan perempuanku sedang bermain bowling bersama teman lelakinya. Pada awal kuperhatikan, teman lelakinya begitu hebat bermain bowling kerana setiap balingannya akan menjatuhkan sekurang-kurangnya 7 pin. Namun, setelah aku menegur kawan perempuanku itu, kuperhatikan balingannya mula merosot, secara mendadak sehingga ada balingan yang memasuki longkang. Aku mula tertanya-tanya mengapa. Dan apabila aku pulang ke kampus, dan melihat kawan perempuanku online, aku pun bertanya kepadanya. “Kenapa pakwe kau awal-awal hebat je baling? Aku tengok 7-8 pin sekali baling. Tapi lepas aku tegur kau, terus longkang?”. ”Dia JELES kau tegur aku.”

Mudahnya jawapan dia. Salahkan aku pulak? Haha. (Jangan marah. Gurau je.) Nampak kan? Sedangkan lelaki soleh seperti Rasulullah dan Umar sendiri cemburu, apatah lagi kami lelaki yang hidup di akhir zaman ini.

Kepada pasangan yang telah berkahwin, sedang bercinta, on-the-way bercinta, fahamilah bahawa lelaki ataupun perempuan akan mencemburui. Jadi terpulang kepada kebijaksaan sendiri untuk berusaha mengelakkan pasangan berasa cemburu. Dan bagi yang mudah merasa cemburu, bukanlah diri ini melabel anda tidak sporting, tetapi bijaklah juga mengawal perasaan itu. Saya tahu anda menyayangi pasangan kamu itu, namun pandulah perasaan itu dengan rasional, bukan emosi semata-mata.

0 comments: