Featured Article

Monday, April 11, 2011

Kuantiti tidak melambangkan kualiti

sumber daripada Wikipedia

Aku menulis bukan kerana nama, bukan kerana pujian. Hanya sekadar berkongsi rasa hati.

Pada minggu lalu, aku dan sahabatku saling berbalas mesej. Perbualan kami adalah seperti berikut:

“Bila kau nak bina masjid? Kau dah nak habis belajar dah..”

“Kan dah ada banyak masjid? Masjid Putrajaya, Masjid Kristal..(walaupun aku tahu apa “masjid” yang dimaksudkan)”

“Sedar tak yang bilangan rumah ibadat lain adalah lebih banyak daripada bilangan masjid di Malaysia?”

“Ya, biar kurang bilangannya. Biar mantap umatnya. Mantap akhlaknya, mantap ilmunya.”

“Tetapi kau sendiri nampak bagaimana umat Islam pada masa kini”

Perbualan kami terhenti di situ kerana urusannya. Namun, kata-katanya membuatku terfikir tentang dua situasi. Bilangan masjid yang kurang di Malaysia dan kualiti umat Islam Malaysia pada hari ini. Ya, tidak aku nafikan, bilangan masjid dan surau-surau di Malaysia adalah kurang jika dibandingkan dengan bilangan rumah ibadat agama lain. Namun, jika dilihat semula, apa gunanya ada masjid yang sebesar istana, namun hanya segolongan yang cuba menghidupkannya? Perhatikan surau-surau dan masjid-masjid di luar sana. Seberapa “hidup”kah rumah-rumah itu? Jika ada pun yang cuba menghidupkannya, hanyalah mereka yang telah berkedut wajahnya. Di mana perginya kaum pemuda pemudi?

Ya, bilangan masjid adalah kurang. Tetapi biar kuantiti kurang namun kualiti cemerlang. Kuantiti tidak pernah melambangkan kualiti. Namun kualiti melambangkan segalanya. Aku bukanlah terdiri daripada insan yang sentiasa memeriahkan barisan saf hadapan di masjid mahupun di surau. Namun, tatkala kaki ini melangkah ke dalam sana, apa yang aku perhatikan barisan saf paling hadapan hanyalah insan-insan yang seusia bapaku atau lebih tua. Jarang sekali ku melihat kanak-kanak seusiaku (perasan muda walhal umur dah 21 tahun) untuk berdiri disebelah orang-orang tua ini mendirikan rukun Islam yang kedua.

Masjid atau surau dahulunya menjadi tempat berkumpul atau bahasa remajanya, lepak di kalangan para ulama dan cendiakawan untuk menyampaikan ilmu, menjadi mahkamah, tempat istirahat dan sebagainya. Rumah Allah bukan hanya sekadar tempat menunaikan solat. Namun realitinya kini, surau atau masjid kini hanya dipandang sebagai tempat untuk solat dan ceramah agama. Jiwa muda mudi bagaikan jauh sekali dengan masjid. Jiwa mereka lebih terpaut pada tempat-tempat hiburan. Masjid sepatutnya menjadi tempat orang jatuh hati, bukan jauh hati.

Berkaitan dengan situasi umat Islam pada masa kini, tiada banyak yang mampu aku katakan. Hanya sekadar perkongsian rasa hati ini. Islam hanya pada nama. Islam hanya pada kad pengenalan. Tetapi akhlak dan perilakunya sama sahaja seperti yang bukan Islam. Malah ada yang lebih teruk. Nauzubillah min zalik. Minum arak, pesta seks, menagih dadah. Itu semua umpama sudah sinonim dengan kehidupan mereka. Muda mudi yang belum berkahwin dengan selamba berpelukan di tempat awam. Dengan selamba berdua-duaan di tempat terpencil. Bilangan mereka kian bertambah dari hari ke hari. Leka dengan cinta mereka, dan mengabaikan cinta padaNya.

Di mana silapnya? Apakah ibu bapa tidak mendidik dengan ajaran agama? Adakah ustaz atau ustazah tidak mengajar di sekolah? Adakah kementerian tidak menetapkan di dalam sibilus pendidikan? Atau adakah pintu hati mereka telah ditutup untuk menerima cahaya hidayah? Nauzubillah min zalik.

Ya kita lebih menyalahkan mereka. Namun apakah kita lupa, sebenarnya ada segolongan “kaki masjid” yang juga boleh dipersalahkan. Sikap mereka yang meminggirkan yang bukan masjid, menyebabkan bukan masjid berasa jauh hati untuk ke masjid. Ini juga telah menjadi salah satu fenomena utama yang boleh diperhatikan yang kebiasaanya boleh dilihat di tempat pengajian seperti matrikulasi, kolej atau universiti. Yang kaki masjid dengan kaki masjid, yang bertudung labuh dengan geng tudung labuh, dan yang sosial atau biasa-biasa dengan geng tersendiri.

Ya sahabatku, kau benar. Memang bilangan masjid di Malaysia ini kurang jika dibandingkan dengan rumah ibatdat agama lain. Namun biarlah kuantitinya kurang, namun kualiti umatnya cemerlang. Biarlah kita menjadi di kalangan syabab yang boleh memeriahkan rumah-rumah ini, menghidupkannya bersama-sama orang-orang tua itu.

Ya kau juga benar sahabatku, bahawa umat Islam Malaysia pada hari ini teruk akhlaknya. Namun biarlah kita tergolong di kalangan mereka yang cemerlang imannya, mantap ilmunya, cemerlang agamanya.

Monday, April 4, 2011

Belajar untuk bersyukur


Lama sungguh terasa tidak mengemaskini penulisan di blogku ini. Namun setelah dipersoalkan tentang penulisanku, hadirnya idea baru untuk menulis entri kali ini: SYUKUR.

Syukur adalah sesuatu yang kadang kala seorang insane terlupa untuk lakukan. Bersyukur dengan makanan yang menyelerakan, bersyukur dilahirkan di negara yang aman damai seperti Malaysia ini. “Jikalau dihitung semua nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu mengiranya”. Begitu banyak sekali nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita, namun adakah telah kita syukuri nikmat-nikmat yang kita mampu hitung itu sendiri?

Pada 1-3 April yang lalu, aku telah menjalani “Student Society Management & Team Building 2011” yang dahulunya dikenali sebagai “Bengkel Pengurusan Organisasi”. Sepanjang 3 hari 2 malam program, kesan yang boleh dirasai ialah ketika ingin mandi membersihkan diri. Bekalan air yang perlahan menguji agak menguji kesabaran. Ketika itu baru tahu nak bersyukur dengan bekalan air paip di hostel yang lancer.

Namun, syukur yang sering diabaikan ialah syukur kepada nikmat pancaindera yang telah Allah kurniakan. Kepada kesihatan anggota tubuh badan kita. Apabila ketika kita sihat, kita lupa mengucapkan syukur kepada Allah. Apabila kita sedang sakit, baru ketika itu kita ingin menghargai nikmat kesihatan itu. Kini telah masuk minggu ketiga aku diserang jangkitan kuman pada sebelah dalam telinga aku. Pada minggu pertama, kesakitannya seperti telinga ini dicucuk-cucuk dengan jarum. Alhamdulillah, pada minggu kedua, sakitnya hanya datang menjenguk sekali sekala, cumanya aku masih kurang berupaya untuk mendengar dengan jelas. Apa yang sering didengari hanyalah bunyi desingan.

Moga ujian yang diberikan ini menginsafi hati yang sering alpa ini untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Moga aku sedar akan kesilapanku ini. Belajarlah untuk sentiasa bersyukur wahai MUHAMAD SOLIHIN.

sumber gambar ialah daripada internet

Tuesday, March 15, 2011

My Father My Hero

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini ialah 15 Mac, tarikh keramat padaku kerana pada tarikh ini seorang insan yang menjadi idolaku lahir. Namanya ialah HASHIM OSMAN. Mungkin ramai di luar sana yang tidak mengenalinya, namun biarlah bak orang kata “Biar tak dikenali oleh orang di luar, biar disayangi oleh orang di dalam.”

Dialah insan yang menjadi peneman setia ketika aku membesar dahulu. Aku ingat lagi di saat di mengajar aku menaiki basikal. Menemani dan mengangkatku ketika aku jatuh. Huhu. Itu kenangan 15 tahun yang lalu. Dia juga yang bersukan denganku. (walaupun kini tidak lagi). Dan dia jugalah yang menghukumku ketika aku belajar mengeja. Aku ingat lagi ketika aku dihukum ketuk ketampi sebanyak 200++ kali kerana salah mengeja beberapa perkataan. Haha.

Dan hari ini aku terjumpa sebuah artikel dari www.ILuvIslam.com yang bertajuk “Hati Seorang Ayah”. Ya, Hashim Osman itu ialah bapaku, idolaku. Insan yang menyelamatkan aku ketika aku dimarahi ibuku. Hehe.

Powered by Blogger.

Popular Posts