Monday, April 11, 2011

Kuantiti tidak melambangkan kualiti

sumber daripada Wikipedia

Aku menulis bukan kerana nama, bukan kerana pujian. Hanya sekadar berkongsi rasa hati.

Pada minggu lalu, aku dan sahabatku saling berbalas mesej. Perbualan kami adalah seperti berikut:

“Bila kau nak bina masjid? Kau dah nak habis belajar dah..”

“Kan dah ada banyak masjid? Masjid Putrajaya, Masjid Kristal..(walaupun aku tahu apa “masjid” yang dimaksudkan)”

“Sedar tak yang bilangan rumah ibadat lain adalah lebih banyak daripada bilangan masjid di Malaysia?”

“Ya, biar kurang bilangannya. Biar mantap umatnya. Mantap akhlaknya, mantap ilmunya.”

“Tetapi kau sendiri nampak bagaimana umat Islam pada masa kini”

Perbualan kami terhenti di situ kerana urusannya. Namun, kata-katanya membuatku terfikir tentang dua situasi. Bilangan masjid yang kurang di Malaysia dan kualiti umat Islam Malaysia pada hari ini. Ya, tidak aku nafikan, bilangan masjid dan surau-surau di Malaysia adalah kurang jika dibandingkan dengan bilangan rumah ibadat agama lain. Namun, jika dilihat semula, apa gunanya ada masjid yang sebesar istana, namun hanya segolongan yang cuba menghidupkannya? Perhatikan surau-surau dan masjid-masjid di luar sana. Seberapa “hidup”kah rumah-rumah itu? Jika ada pun yang cuba menghidupkannya, hanyalah mereka yang telah berkedut wajahnya. Di mana perginya kaum pemuda pemudi?

Ya, bilangan masjid adalah kurang. Tetapi biar kuantiti kurang namun kualiti cemerlang. Kuantiti tidak pernah melambangkan kualiti. Namun kualiti melambangkan segalanya. Aku bukanlah terdiri daripada insan yang sentiasa memeriahkan barisan saf hadapan di masjid mahupun di surau. Namun, tatkala kaki ini melangkah ke dalam sana, apa yang aku perhatikan barisan saf paling hadapan hanyalah insan-insan yang seusia bapaku atau lebih tua. Jarang sekali ku melihat kanak-kanak seusiaku (perasan muda walhal umur dah 21 tahun) untuk berdiri disebelah orang-orang tua ini mendirikan rukun Islam yang kedua.

Masjid atau surau dahulunya menjadi tempat berkumpul atau bahasa remajanya, lepak di kalangan para ulama dan cendiakawan untuk menyampaikan ilmu, menjadi mahkamah, tempat istirahat dan sebagainya. Rumah Allah bukan hanya sekadar tempat menunaikan solat. Namun realitinya kini, surau atau masjid kini hanya dipandang sebagai tempat untuk solat dan ceramah agama. Jiwa muda mudi bagaikan jauh sekali dengan masjid. Jiwa mereka lebih terpaut pada tempat-tempat hiburan. Masjid sepatutnya menjadi tempat orang jatuh hati, bukan jauh hati.

Berkaitan dengan situasi umat Islam pada masa kini, tiada banyak yang mampu aku katakan. Hanya sekadar perkongsian rasa hati ini. Islam hanya pada nama. Islam hanya pada kad pengenalan. Tetapi akhlak dan perilakunya sama sahaja seperti yang bukan Islam. Malah ada yang lebih teruk. Nauzubillah min zalik. Minum arak, pesta seks, menagih dadah. Itu semua umpama sudah sinonim dengan kehidupan mereka. Muda mudi yang belum berkahwin dengan selamba berpelukan di tempat awam. Dengan selamba berdua-duaan di tempat terpencil. Bilangan mereka kian bertambah dari hari ke hari. Leka dengan cinta mereka, dan mengabaikan cinta padaNya.

Di mana silapnya? Apakah ibu bapa tidak mendidik dengan ajaran agama? Adakah ustaz atau ustazah tidak mengajar di sekolah? Adakah kementerian tidak menetapkan di dalam sibilus pendidikan? Atau adakah pintu hati mereka telah ditutup untuk menerima cahaya hidayah? Nauzubillah min zalik.

Ya kita lebih menyalahkan mereka. Namun apakah kita lupa, sebenarnya ada segolongan “kaki masjid” yang juga boleh dipersalahkan. Sikap mereka yang meminggirkan yang bukan masjid, menyebabkan bukan masjid berasa jauh hati untuk ke masjid. Ini juga telah menjadi salah satu fenomena utama yang boleh diperhatikan yang kebiasaanya boleh dilihat di tempat pengajian seperti matrikulasi, kolej atau universiti. Yang kaki masjid dengan kaki masjid, yang bertudung labuh dengan geng tudung labuh, dan yang sosial atau biasa-biasa dengan geng tersendiri.

Ya sahabatku, kau benar. Memang bilangan masjid di Malaysia ini kurang jika dibandingkan dengan rumah ibatdat agama lain. Namun biarlah kuantitinya kurang, namun kualiti umatnya cemerlang. Biarlah kita menjadi di kalangan syabab yang boleh memeriahkan rumah-rumah ini, menghidupkannya bersama-sama orang-orang tua itu.

Ya kau juga benar sahabatku, bahawa umat Islam Malaysia pada hari ini teruk akhlaknya. Namun biarlah kita tergolong di kalangan mereka yang cemerlang imannya, mantap ilmunya, cemerlang agamanya.

1 comments:

Unknown said...

masjid lain tuh..
ana dok tunggu jemputan juga ni,
bila nak jemput...