Featured Article

Monday, May 23, 2011

DIA sedang berbicara denganku

sumber daripada parenting4tomorrow.blogspot.com

ASSALAMUALAIKUM KEPADA PEMBACA

Perkataan tarbiah hadir daripada bahasa Arab yang bermaksud didik. Pentarbiahan bererti mendidik. Untuk entri kali ini, pentarbihan yang cuba ingin aku sampaikan ialah pentarbiahan atau mendidik hati dalam menerima ketentuanNya, untuk terus tersenyum dengan dugaanNya. Ya, memang tidak dinafikan pentarbiahan itu sangat sukar. Sukarnya untuk mendidik hati ini untuk redha, untuk ikhlas ketika ujian datang. Pada saat ini, ujian yang hadir ini sungguh menyakitkan.

Setiap orang itu ujiannya berbeza”. Itulah kata kakakku beberapa hari yang lalu. Benar, ujian yang disediakan oleh Allah untuk setiap hambanya adalah berbeza. Rasulullah sendiri diuji dengan berbagai-bagai ujian sepanjang kehidupan baginda, daripada usianya muda sehinggalah dilantik menjadi seorang Rasul.

Ujian terbaru untukku ialah kegagalan. Kesakitan gagal suatu ketika dulu hadir kembali. Setiap orang pernah merasai kegagalan dan kini perasaan kecewa itu hadir dan memang ia menyakitkan. Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah Berjaya. Michael Jordan pernah berkata, “Mengapa saya berjaya? Kerana saya gagal berulang-ulang kali”. Apabila sahabat kita sedang kecewa menangis kerana kegagalannya, kita duduk di sebelahnya dan menepuk bahunya. “Tidak mengapa. Masih ada lain kali. Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Nanti boleh cuba lagi.

Namun, apabila ujian kegagalan itu kena pada muka sendiri, sejauh mana kamu akan menepuk bahumu sendiri dan menenuturkan ayat yang sama? Untuk menerima kegagalan itu dengan hati yang rela? Saat aku menulis ini, sungguh terasa ingin menangis. Namun, tiada sesiapa yang boleh kusalahkan kecuali diri sendiri. Aku perlu bangun kembali. Aku perlu kuat kembali. Orang lain lebih teruk dugaannya. Jika terasa sakit dengan kegagalan, apakah kesakitan ini sama seperti mereka yang sedang menahan sakit di Palestin? Kesakitan dibedil dengan peluru, kesakitan tubuh badan yang hancur akibat letupan bom. Patutlah beberapa hari ini aku dihiburkan dengan kegembiraan, kerana hari ini aku diuji pula dengan kesedihan.

Malu? Ya aku malu ketika ini. Dengan keluargaku, dengan sahabatku, dengan diri sendiri. Tetapi adakah hanya kerana ini segalanya berakhir? Tidak. Segalanya baru bermula. Setiap hari adalah permulaan yang baru. Aku perlu kembali tersenyum, aku perlu kembali tertawa.

La tahzan, innallah maanna” atau “jangan bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama kamu

Jadi Muhamad Solihin, didiklah hatimu itu untuk rela menerima ketentuan ini. Allah telah memberikan kamu begitu banyak ujian kejayaan, jadi terimalah pula ujian kegagalan ini dengan hati yang terbuka. “Allah sedang berbicara denganmu. Allah sedang berbicara denganmu tentang sabar dan ikhlas.”. itulah antara dialog dalam filem terkenal Indonesia “Ayat-ayat Cinta”. Dan kini, DIA sedang berbicara denganku.

Hati itu pelik

sumber daripada Photobucket.com

ASSALAMUALIKUM KEPADA PARA PEMBACA

Dalam definisi biologi, hati adalah antara organ terpenting dalam tubuh badan manusia yang memainkan beberapa tugas penting pada tubuh badan seperti menyahtoksin, mensintesis protein, menghasilkan bahan biokimia yang memainkan peranan dalam proses pencernaan makanan dan beberapa peranan yang lain.

Namun dalam difinisi lain, hati melambangkan sesuatu yang membuat pertimbangan, seperti akal. Baik buruk seseorang bergantung kepada hatinya. Baik hatinya, maka baiklah seseorang itu, begitu jugalah jika sebaliknya.

Apa yang unik tentang hati ini ialah ia sangat mudah untuk berbelah balik. Misalannya, pasti antara kalian yang pernah mendengar kata-kata ini. “Bencilah orang berpada-pada kerana dia mungkin menjadi orang yang paling kamu cintai dan cintailah orang berpada-pada kerana mungkin dia akan menjadi orang yang paling kamu benci”. Hari ini kita boleh katakan yang kita tidak suka pada seseorang namun tiba-tiba, keesokan harinya hati kita terpaut pada dia.

Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).

Menurut Pakar Perunding Onkologi, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Datuk Dr. Fuad Ismail , penyakit hati paling kronik ialah kanser hati. – sumber http://www.rawatan.org/kanser-hati-muncul-secara-senyap-2/

Namun penyakit hati yang paling teruk ialah hati yang telah “ditutup”. Hati yang ditutup dengan kegelapan sehingga tiada nur atau cahaya yang boleh menembusi untuk menerima kebenaran. Inilah penyakit pembunuh senyap atau silent killer yang sedang merebak di kalangan umat Islam hari ini. Isu ini ditimbulkan dalam filem Nur Kasih, yang mana terdapat watak segolongan remaja yang telah terpesong daripada jalan kebenaran dan juga orang dewasa yang mengejar kekayaan dunia tanpa mengira halal atau haram sumber kewangan itu. Remaja Islam kini tidak dinafikan kebanyakannya kian leka dengan keseonokan dunia. Manakala pemikiran Islam yang dikatakan kolot dan menyekat kemajuan menyebabkan golongan korporat yang mengejar harta mengabaikan cara kehidupan Islam.

Namun juga, ditimbulkan isu yang yang boleh dilihat pada mereka yang berpendidikan agama. Hati mereka yang “alim” yang enggan menerima mereka yang “tersasar”. “Kalau ilmu itu disampaikan hanya pada mereka yang telah mengetahui, siapa pula yang nak berdakwah pada mereka yang terpesong?”. Lebih kurang begitulah dialog Adam kepada seorang ustad yang enggan memberikan ceramahnya kepada anak-anak yang terpesong. Jangan menyangka yang kamu berkopiah, bertudung labuh, solat di masjid lima kali sehari semalam bererti kamu adalah lebih baik daripada mereka yang yang kurang menjaga auratnya, yang tidak selalu berjemaah di masjid. BUKAN KAMU YANG MENENTUKAN KEDUDUKAN ITU, TETAPI DIA, YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Orang yang buta bukanlah orang yang tidak mampu melihat dengan matanya, tetapi orang yang buta ialah orang yang tidak boleh melihat dengan hatinya.

Saturday, May 21, 2011

Bila tiba saatnya...


Semalam aku telah menonton filem Nur Kasih bersama Fakhrol & Norel di ECM. Sebuah filem yang menyentuh hati yang membincangkan banyak isu dalam filem tersebut. Isu utama yang dikupas ialah menerima ketentuan takdir Ilahi.

Aidil diuji dengan pemergian isteri tercinta Alia, Adam dan Nur diuji dengan ketiadaan zuriat walaupun setelah beberapa tahun berkahwin. Bercakap tentang pemergian Alia, pada awalnya nampak jelas pada watak Aidil yang sukar untuk menerima pemergian isterinya. Hatinya begitu sedih setiap kali teringatkan isterinya. Apabila terkenang gurauan mesra bersama Alia dan anak-anaknya. Adam pula kesedihan bila melihat Nur yang bersedih kerana keguguran anak.

Betapa sukarnya melepaskan apa yang kita sayang bukan?

Begitu juga aku. Aku hanya insan biasa. Yang tak pernah terlepas daripada ujian kehilangan apa yang kusayangi. Semua orang boleh berkata “Innalillah wainna hilaihi rajiun” tetapi sejauh mana hati benar-benar bersedia menerima? Benar kata kakakku, aku bukan seorang lelaki yang kuat. Aku lelaki yang lemah. Ketika aku melihat abang & kakakku pergi meninggalkan bumi UMP, aku tak nafikan aku merasa kehilangan. Ketika aku melihat kembarku menamatkan pengajian diploma, sekali lagi aku rasa ditinggalkan.

Aku pernah merasa kekecewaan, aku pernah merasa kehilangan. Namun sesungguhnya aku sangat tidak bersedia untuk kehilangan orang yang aku sayang. Aku sedari mereka adalah milikMu, bukan milikku. Aku takut aku terlalu rapuh bila diuji sebegitu.

Bagaimana rasanya bila kehilangan seseorang yang kita sayang? Betapa terlukanya hati itu, hanya orang yang pernah merasanya berhak menulisnya. Namun, kutahu, tiada apa yang mampu menggambarkan kesedihan yang dirasai. Seorang sahabatku pernah bercerita disaat dia menerima berita ayahnya meninggal dunia, “ketika mendengar berita itu, Abang tak mampu nak rasa apa. Seolah-oleh ketika itu tiada perasaan yang mempu digambarkan dengan kata-kata.

Ya Allah,
kutahu semua ini adalah milikMu…
bukan milikku…
tetapi sesungguhnya aku sangat tak bersedia kehilangan mereka…
hanya itu yang mampu kuluahkan kini..
aku tak sanggup kehilangan orang yang kusayangi…

namun
siapalah aku untuk menafikan segalanya..
Kau adalah Pemilik segalanya..
dan aku pula hanyalah seorang hamba..
walau air mata darah yang keluar dari mata ini..
tetap tidak mampu mengubah takdirMu
ampunkan daku wahai Tuhanku…
aku memohon kekuatan kepadaMu,
andai bila tiba saatnya, berikan aku kekuatan untuk menghadapinya..
walaupun aku tahu saat awalnya aku pasti tersungkur…

Powered by Blogger.

Popular Posts