ASSALAMUALAIKUM KEPADA PEMBACA
Perkataan tarbiah hadir daripada bahasa Arab yang bermaksud didik. Pentarbiahan bererti mendidik. Untuk entri kali ini, pentarbihan yang cuba ingin aku sampaikan ialah pentarbiahan atau mendidik hati dalam menerima ketentuanNya, untuk terus tersenyum dengan dugaanNya. Ya, memang tidak dinafikan pentarbiahan itu sangat sukar. Sukarnya untuk mendidik hati ini untuk redha, untuk ikhlas ketika ujian datang. Pada saat ini, ujian yang hadir ini sungguh menyakitkan.
“Setiap orang itu ujiannya berbeza”. Itulah kata kakakku beberapa hari yang lalu. Benar, ujian yang disediakan oleh Allah untuk setiap hambanya adalah berbeza. Rasulullah sendiri diuji dengan berbagai-bagai ujian sepanjang kehidupan baginda, daripada usianya muda sehinggalah dilantik menjadi seorang Rasul.
Ujian terbaru untukku ialah kegagalan. Kesakitan gagal suatu ketika dulu hadir kembali. Setiap orang pernah merasai kegagalan dan kini perasaan kecewa itu hadir dan memang ia menyakitkan. Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah Berjaya. Michael Jordan pernah berkata, “Mengapa saya berjaya? Kerana saya gagal berulang-ulang kali”. Apabila sahabat kita sedang kecewa menangis kerana kegagalannya, kita duduk di sebelahnya dan menepuk bahunya. “Tidak mengapa. Masih ada lain kali. Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Nanti boleh cuba lagi.”
Namun, apabila ujian kegagalan itu kena pada muka sendiri, sejauh mana kamu akan menepuk bahumu sendiri dan menenuturkan ayat yang sama? Untuk menerima kegagalan itu dengan hati yang rela? Saat aku menulis ini, sungguh terasa ingin menangis. Namun, tiada sesiapa yang boleh kusalahkan kecuali diri sendiri. Aku perlu bangun kembali. Aku perlu kuat kembali. Orang lain lebih teruk dugaannya. Jika terasa sakit dengan kegagalan, apakah kesakitan ini sama seperti mereka yang sedang menahan sakit di Palestin? Kesakitan dibedil dengan peluru, kesakitan tubuh badan yang hancur akibat letupan bom. Patutlah beberapa hari ini aku dihiburkan dengan kegembiraan, kerana hari ini aku diuji pula dengan kesedihan.
Malu? Ya aku malu ketika ini. Dengan keluargaku, dengan sahabatku, dengan diri sendiri. Tetapi adakah hanya kerana ini segalanya berakhir? Tidak. Segalanya baru bermula. Setiap hari adalah permulaan yang baru. Aku perlu kembali tersenyum, aku perlu kembali tertawa.
“La tahzan, innallah maanna” atau “jangan bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama kamu”
Jadi Muhamad Solihin, didiklah hatimu itu untuk rela menerima ketentuan ini. Allah telah memberikan kamu begitu banyak ujian kejayaan, jadi terimalah pula ujian kegagalan ini dengan hati yang terbuka. “Allah sedang berbicara denganmu. Allah sedang berbicara denganmu tentang sabar dan ikhlas.”. itulah antara dialog dalam filem terkenal Indonesia “Ayat-ayat Cinta”. Dan kini, DIA sedang berbicara denganku.
0 comments:
Post a Comment