Saturday, May 21, 2011

Bila tiba saatnya...


Semalam aku telah menonton filem Nur Kasih bersama Fakhrol & Norel di ECM. Sebuah filem yang menyentuh hati yang membincangkan banyak isu dalam filem tersebut. Isu utama yang dikupas ialah menerima ketentuan takdir Ilahi.

Aidil diuji dengan pemergian isteri tercinta Alia, Adam dan Nur diuji dengan ketiadaan zuriat walaupun setelah beberapa tahun berkahwin. Bercakap tentang pemergian Alia, pada awalnya nampak jelas pada watak Aidil yang sukar untuk menerima pemergian isterinya. Hatinya begitu sedih setiap kali teringatkan isterinya. Apabila terkenang gurauan mesra bersama Alia dan anak-anaknya. Adam pula kesedihan bila melihat Nur yang bersedih kerana keguguran anak.

Betapa sukarnya melepaskan apa yang kita sayang bukan?

Begitu juga aku. Aku hanya insan biasa. Yang tak pernah terlepas daripada ujian kehilangan apa yang kusayangi. Semua orang boleh berkata “Innalillah wainna hilaihi rajiun” tetapi sejauh mana hati benar-benar bersedia menerima? Benar kata kakakku, aku bukan seorang lelaki yang kuat. Aku lelaki yang lemah. Ketika aku melihat abang & kakakku pergi meninggalkan bumi UMP, aku tak nafikan aku merasa kehilangan. Ketika aku melihat kembarku menamatkan pengajian diploma, sekali lagi aku rasa ditinggalkan.

Aku pernah merasa kekecewaan, aku pernah merasa kehilangan. Namun sesungguhnya aku sangat tidak bersedia untuk kehilangan orang yang aku sayang. Aku sedari mereka adalah milikMu, bukan milikku. Aku takut aku terlalu rapuh bila diuji sebegitu.

Bagaimana rasanya bila kehilangan seseorang yang kita sayang? Betapa terlukanya hati itu, hanya orang yang pernah merasanya berhak menulisnya. Namun, kutahu, tiada apa yang mampu menggambarkan kesedihan yang dirasai. Seorang sahabatku pernah bercerita disaat dia menerima berita ayahnya meninggal dunia, “ketika mendengar berita itu, Abang tak mampu nak rasa apa. Seolah-oleh ketika itu tiada perasaan yang mempu digambarkan dengan kata-kata.

Ya Allah,
kutahu semua ini adalah milikMu…
bukan milikku…
tetapi sesungguhnya aku sangat tak bersedia kehilangan mereka…
hanya itu yang mampu kuluahkan kini..
aku tak sanggup kehilangan orang yang kusayangi…

namun
siapalah aku untuk menafikan segalanya..
Kau adalah Pemilik segalanya..
dan aku pula hanyalah seorang hamba..
walau air mata darah yang keluar dari mata ini..
tetap tidak mampu mengubah takdirMu
ampunkan daku wahai Tuhanku…
aku memohon kekuatan kepadaMu,
andai bila tiba saatnya, berikan aku kekuatan untuk menghadapinya..
walaupun aku tahu saat awalnya aku pasti tersungkur…

0 comments: