Featured Article

Wednesday, December 29, 2010

Perpisahan itu menyakitkan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itulah lumrah kehidupan. Dan perpisahan terakhir ialah apabila seseorang itu dicabut nyawanya. Itulah pertemuan yang tiada perpisahan. Pertemuan dengan Kekasih Sejati yang mencintai kita.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.” (Surah Al-Anbiya:35)

Peritnya sebuah perpisahan. Tak kira apa jua jenis perpisahan. Jika kita menyayangi seseorang atau sesuatu itu, kita pasti terseksa bila kita terpisah. Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal. Mahu atau tidak, aku tetap terpaksa melaluinya. Kini, aku bakal memulakan semester baru “keseorangan”. Tiada lagi gelak tawa bersama. Tiada lagi main kejar- kejar. Tiada lagi peril memerli. Tiada lagi lepak bersama. Tiada lagi duduk bersama untuk bercerita. Benar-benar keseorangan.

Masih lagi kuingat pertemuan setiap dengan kamu semua. Walaupun kita berkenalan secara berlainan, namun persamaannya tetap sama: IN-SMARTIVE. Kita menjadi keluarga. Walaupun kita tak selalu bersama, namun setiap saat kita bersama penuh dengan gelak tawa, tangisan, nasihat menasihati. Kita berjuang untuk memperbaiki diri.

Tabahkanlah hati ini. Bertatih mencari kekuatan semula. Bertatih dalam bersendirian mencari kegembiraan. Walaupun aku tahu korang memang tak baca pun benda ini, aku harap korang akan tahu yang aku akan merindui korang, dan doa aku akan sentiasa bersama korang. Terima kasih kerana menjadikan kehidupan aku di UMP ini sebagai suatu kenangan yang berbagai rasa. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian InsyaAllah jika ditakdirkan, kita akan berjumpa lagi.

Selamat berjuang wahai sahabat sahabatku.

Thursday, December 16, 2010

Tahu buat, tak tahu jaga

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca blogku

Tajuk kali ini ingin membincangkan tajuk yang diberi oleh seorang penulis terkenal kepadaku. Tajuknya ialah “Tahu buat, tak tahu jaga”. Tajuk ini merujuk kepada kes pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi. Baru hari ini dalam surat khabar Metro (16 Disember 2010), menyatakan Selangor mencatatkan ststistik tertinggi untu kes buang bayi diikuti oleh Johor. Segelintir remaja kini terus hanyut dengan nafsu. Percaya bahawa “demi cintaku padamu, segalanya akan kuserahkan”.

Wahai lelaki,

Bukankah kita sepatutnya melindungi kaum Hawa? Kita dikurniakan 9 akal 1 nafsu. Namun 1 itulah yang terus menewaskan kita. “Jika betul awak sayangkan saya, buktikan.” Mengapa mahkotanya perlu diserahkan sebagai tanda cintanya padamu? Mengapa kamu sanggup untuk menyentuh si gadis walaupun kamu tahu dia tidak halal untuk kamu? Berpegangan tangan dikatakan romantic, konon. Itulah permulaan segalanya. Mulanya berpegangan tangan. Ketika itu, rasanya seperti sudah mampu terbang ke langit. Lama kelamaan, rasa itu hilang. Tangan kamu “merantau” lebih jauh supaya kamu berasa di awangan lagi. Akhirnya, kamu tewas dan menariknya sekali ke lembah zina.

Wahai lelaki,

Ketika bercinta, kau janjikan bermacam-macam. “Lautan api sanggupku redah”. Kepala hotak kau. Takat air mendidih pun tak sanggup nak sentuh, inikan lagi lautan berapi. Ungkapanmu manis umpama “menanam tebu dibibir”. Setelah kau dapat apa yang kau inginkan, kau tinggalkan dia terkapai-kapai. Mengapa ungkapan sayang yang kau ucapkan tak seperti perbuatan yang kau tunjukkan? Mengapa jika kau sayang dia, kau gunakan dia untuk puaskan nafsu serakahmu? Tidak terbayangkah engkau yang dia mencintamu sepenuh hatinya ikhlas, namun kau mencintainya sekadar kerana tubuhnya?

Sedarlah wahai para lelaki sekalian, marilah kita bangkit dari kealpaan kita. Marilah kita belajar menggunakan 9 akal kita untuk mengawal nafsu yang satu itu. Marilah kita belajar menegakkan agama dalam jiwa kelakian kita agar kaum Hawa boleh merasa bangga dengan kaum Adam seperti zaman Rasulullah dulu.


Wahai perempuan,

Kamulah kelemahan kami yang satu. Wajahmu yang cantik mampu menggetarkan jiwa, gerak lenggokmu mampu menawan hati, suaramu yang lembut mampu mencairkan hati. Kau diciptakan dengan penuh kelembutan disebalik kekuatan yang tersembunyi. Namun, kekuatan tersembunyi itu gagal mempertahankan dirimu hingga akhirnya kau tersungkur dengan ayat-ayat bunga daripada lelaki. Kau cintakan dia “100 %” hingga sanggup menyerahkan segalanya demi cintamu.

Dia kata dia cinta padamu. Kau percaya. Dia kata dia ingin mengawinimu. Kau percaya. Dia kata buktikan sejauh mana cintamu padanya. Mengapa kau serahkan tubuhmu untuk membuktikannya? Tak boleh ke cakap “sejauh mata memandang”?

Wahai perempuan,

Setelah kau mengandung akibat perbuatanmu dengannya, kau ditinggalkan. Ketika itu baru kau sedar siapa dirinya. Baru kau sedar bahawa kau bodoh kerana mempercayai seorang lelaki. Baru kau berasa bedosa. Dan kau rasakan anak dalam kandunganmu itu tak patut hidup. Lalu kau gugurkannya. Kau buang dia umpama sampah. Kau tinggalkan dia dimamah binatang liar. Kau tahu apa yang orang samakan dirimu ketika itu. Perbuatanmu itu umpama binatang. Namun jujur aku katakan aku tidak setuju, aku merasakan kau tak layak untuk disamakan dengan binatang kerana semua ibu binatang pun sayangkan anak yang dilahirkannya. Belum ada perkataan yang wujud lagi untuk menyamakan tindakanmu itu.

Seorang anak yang baru lahir itu tidak berdosa. Dia suci. Namun mengapa kau buang dia umpama makanan yang tak habis dimakan? Tidakkah ada walau sedikit rasa kasih pada bayi itu? Allah meletakkan status seorang ibu itu ditahap yang tinggi, namun kau padamkan status itu.

Sedarlah para wanita sekalian, kalian dikurniakan 9 nafsu dan 1 akal. Namun itu tak bererti kamu lemah. “Tangan yang menyayun buaian mampu menggoncang dunia”. Kembalilah ke jalanNya. Kembalilah belajar untuk menjadi wanita solehah kerana wanita itu adalah perhiasan dan seindah – indah hiasan ialah wanita solehah. Jadilah umpama mutiara yang tersimpan di dasar lautan, bukan umpama baju yang boleh ditukar ganti begitu sahaja.

Wednesday, December 8, 2010

Apakah aku masih layak...

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukan daripada lelaki yang datang daripada keluarga berada? Aku lahir dan membesar dalam sebuah keluarga biasa. Keluarga yang tak punya harta untuk mengaburi mata aku adik beradik. Kutidak mampu untuk mendapatkan semua kehendakku dan mungkin aku juga tak mampu untuk membelikan apa-apa yang berharga buatmu.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukanlah lelaki yang kacak seperti artis Korea atau segagah The Rock? Aku hanya insan biasa yang sempurna jasadku, tiada cacat cela, Alhamdulillah. Namun, tidaklah sekacak artis-artis yang kau lihat di televisyen atau di majalah. Juga aku bukan lelaki yang mempunyai kurdat untuk berlari 9.58 saat untuk 100 meter seperti Usain Bolt. Aku hanyalah seorang lelaki biasa.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukanlah insan yang baik seperti kau sangkakan? Mampukah kau menerimaku jika kau ketahui bahawa dahulu terlalu banyak dosaku? Aku masih lagi belajar untuk mengenal erti istiqamah dalam dunia baruku. Mampukah kau menerimaku jika kau ketahui bahawa betapa hinanya aku sebagai hambaNya?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku akan meletakkan kedua ibu bapaku dahulu sebelummu untuk sesetengah perkara. Jika kau berkahwin denganku, syurgamu berada di bawah tapak kakiku. Namun, sehingga aku mati pun, syurgaku tetap dan takkan sesekali berubah, iaitu di bawah tapak kaki ibuku. Izinkan aku untuk mencuba membalas jasa kedua “malaikatku” itu walaupun aku sedari mati hidup semula pun aku tetap takkan mampu. (Bacalah kisah ini...)

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku hanyalah seorang lelaki biasa yang mudah tersungkur dengan godaan dunia. Aku mungkin mampu untuk menepisnya sekali sekala, namun, apakah aku mampu untuk terus melawannya? Moga Allah sentiasa melindungiku.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku masih lagi berusaha untuk mendapatkan cintaNya? Masih lagi berusaha untuk merasakan ketenangan setiap kali aku sujud menyembahNya? Masih lagi berusaha untuk menegakkan agamaNya dalam kehidupan harianku? Apakah masih ada ruang untukku?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika aku katakan bahawa kedua ibu bapaku mungkin tidak mampu menerimamu, dan mungkin jua kedua ibu bapamu tidak dapat menerimaku. Apakah masih akan ada cintamu untukku jika kita berkahwin dan keluarga kita saling tidak menyukai antara kita?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika ditakdirkan aku tidak mampu untuk memberimu zuriat? Tak mampu untuk memberikanmu peluang untuk menaikkan darjatmu daripada seorang isteri kepada seorang ibu? Apakah masih ada cinta untukmu jika aku tidak mampu untuk memberimu peluang untuk melahirkan pejuang agamaNya?

Ya habibati (walaupun aku masih tidak mengetahui siapa dirimu),

Ketahuilah bahawa aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tidak punya apa-apa. Kurang isi dunia, dan masih mencari bekalan untuk akhiratku. Aku masih mencari diriku yang sebenar. Namun, jika kau percaya bahawa aku mampu untuk membimbingmu untuk mencari keredhaanNya, hanya ungkapan terima kasih yang mampu aku ucapkan. Namun sebelum tiba masanya untuk aku menjadi halal untukmu, doakanlah aku agar aku terus bermujahadah untuk memperbaiki diriku. Menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Dan aku juga mendoakanmu agar terus mekar menjadi mawar berduri. Selamat menyambut Maal Hijrah…

Powered by Blogger.

Popular Posts