Wednesday, December 8, 2010

Apakah aku masih layak...

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukan daripada lelaki yang datang daripada keluarga berada? Aku lahir dan membesar dalam sebuah keluarga biasa. Keluarga yang tak punya harta untuk mengaburi mata aku adik beradik. Kutidak mampu untuk mendapatkan semua kehendakku dan mungkin aku juga tak mampu untuk membelikan apa-apa yang berharga buatmu.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukanlah lelaki yang kacak seperti artis Korea atau segagah The Rock? Aku hanya insan biasa yang sempurna jasadku, tiada cacat cela, Alhamdulillah. Namun, tidaklah sekacak artis-artis yang kau lihat di televisyen atau di majalah. Juga aku bukan lelaki yang mempunyai kurdat untuk berlari 9.58 saat untuk 100 meter seperti Usain Bolt. Aku hanyalah seorang lelaki biasa.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku bukanlah insan yang baik seperti kau sangkakan? Mampukah kau menerimaku jika kau ketahui bahawa dahulu terlalu banyak dosaku? Aku masih lagi belajar untuk mengenal erti istiqamah dalam dunia baruku. Mampukah kau menerimaku jika kau ketahui bahawa betapa hinanya aku sebagai hambaNya?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku akan meletakkan kedua ibu bapaku dahulu sebelummu untuk sesetengah perkara. Jika kau berkahwin denganku, syurgamu berada di bawah tapak kakiku. Namun, sehingga aku mati pun, syurgaku tetap dan takkan sesekali berubah, iaitu di bawah tapak kaki ibuku. Izinkan aku untuk mencuba membalas jasa kedua “malaikatku” itu walaupun aku sedari mati hidup semula pun aku tetap takkan mampu. (Bacalah kisah ini...)

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku hanyalah seorang lelaki biasa yang mudah tersungkur dengan godaan dunia. Aku mungkin mampu untuk menepisnya sekali sekala, namun, apakah aku mampu untuk terus melawannya? Moga Allah sentiasa melindungiku.

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika kau ketahui bahawa aku masih lagi berusaha untuk mendapatkan cintaNya? Masih lagi berusaha untuk merasakan ketenangan setiap kali aku sujud menyembahNya? Masih lagi berusaha untuk menegakkan agamaNya dalam kehidupan harianku? Apakah masih ada ruang untukku?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika aku katakan bahawa kedua ibu bapaku mungkin tidak mampu menerimamu, dan mungkin jua kedua ibu bapamu tidak dapat menerimaku. Apakah masih akan ada cintamu untukku jika kita berkahwin dan keluarga kita saling tidak menyukai antara kita?

Apakah aku masih layak…

Untuk mendapatkan cintamu jika ditakdirkan aku tidak mampu untuk memberimu zuriat? Tak mampu untuk memberikanmu peluang untuk menaikkan darjatmu daripada seorang isteri kepada seorang ibu? Apakah masih ada cinta untukmu jika aku tidak mampu untuk memberimu peluang untuk melahirkan pejuang agamaNya?

Ya habibati (walaupun aku masih tidak mengetahui siapa dirimu),

Ketahuilah bahawa aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tidak punya apa-apa. Kurang isi dunia, dan masih mencari bekalan untuk akhiratku. Aku masih mencari diriku yang sebenar. Namun, jika kau percaya bahawa aku mampu untuk membimbingmu untuk mencari keredhaanNya, hanya ungkapan terima kasih yang mampu aku ucapkan. Namun sebelum tiba masanya untuk aku menjadi halal untukmu, doakanlah aku agar aku terus bermujahadah untuk memperbaiki diriku. Menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Dan aku juga mendoakanmu agar terus mekar menjadi mawar berduri. Selamat menyambut Maal Hijrah…

1 comments:

WaFa' aN-NiSa' said...

bukan kerana kisah silam yang pernah kamu lakukan menjadi penilaian seseorang tetapi penilaian sebenar terletak pada pengakhiran kehidupan kamu.biar apa pun yang orang katakan, mereka bukanlah Tuhan yang mengetahui hati setiap hambanya..biarlah orang yang menerima kamu, bukan kerana paras rupa,pangkat atau kebaikan semata-mata yang pernah kamu lakukan tetapi ia juga mampu menerima setiap kelebihan & kelemahan yang ada pada dirimu untuk menjadi pelengkap dirinya