Assalamualaikum
Bila tibanya bulan Februari, dapt dilihat di dada akhbar dan di wajah televisyen tentang iklan-iklan cinta. Dengan tanggal 14 Februari setiap tahun, HAMPIR semua pasangan yang sedang hangat bercinta ingin meraikan hari “bermakna” bersama pasangan tercinta. Namun, kesedaran akan haramnya menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day telah diketahui umum oleh masyarakat beragama Islam. Namun, yang ramai menyambutnya ialah orang yang beragama Islam. Di manakah silapnya? Mengapa masih ada yang tergoda untuk meraikan hari tersebut walaupun sudah diketahui rahsia di sebalik kisahnya.
Pada malam Hari Kekasih, diberitakan dalam Buletin Utama TV3 pada 14 Februari 2011 terdapat 40 pasangan yang telah ditangkap khalwat. Dan entah berapa ramai pasangan yang terlepas. Wallahualam. Apakah sebenar ertinya cinta pada mereka? apakah mereka telah terpengaruh jauh dalam ideologi barat yang menyatakan cinta itu adalah dengan melakukan persetubuhan? Ada yang menyatakan, “Lelaki melafazkan cinta demi mendapatkan seks, wanita merelakan seks demi mendapatkan cinta”. Apakah begitu hina nilai cinta pada mereka?
Cinta itu sebenarnya benda yang suci jika didirikan atas panduan yang benar. Baca sahaja tentang kisah cinta antara Rasulullah S.A.W bersama Aisyah R.A di mana ketika Rasulullah pulang lewat malam ke rumah. Kerana cintanya baginda pada isterinya, baginda sanggup untuk tidur di luar rumah daripada mengejutkan Aisyah manakala Aisyah sanggup tidur di hadapan pintu demi menanti kepulangan suami tercinta. Begitu indahnya cinta dua insan ini. Cinta itu adalah tanggungjawab bak kata Ustad Pahroul Mohd Juoi. Jika seorang lelaki benar-benar mencintai seorang wanita, dia tidak akan sekali-kali mengambil kesempatan untuk “menyentuh” perempuan tersebut. Akan dia perbaiki dirinya untuk menjadi yang terbaik, untuk menjadi insan berilmu dan mencari sumber wang yang halal agar dia dapat menampung kehidupannya bersama wanita tersebut.
Namun, realiti kehidupan kita kini berbeza. Bilangan lelaki yang merosakkan wanita kian meningkat. Bilangan wanita yang meruntuhkan iman lelaki juga tidak kurang hebatnya. Di manakah lagi bisa dicari lelaki-lelaki yang bersama melindungi kaum Hawa? Bagaimanakah lagi ingin dicari wanita yang melindungi dirinya daripada menggetarkan iman lelaki? Jika kamu benar-benar menyukai seorang perempuan, pergilah kamu lamar dia. Bina hubungan dengan perkahwinan. Ia lebih barakah.
Cinta yang teragung ialah pada Sang Pencipta. Yang kedua pada insan yang mulia yang bernama Muhammad bin Abdullah. Itulah semanis-manis cinta. Cinta yang tidak akan pudar setelah kita merasainya. Itulah cinta yang harus dikejar. Bergetarnya jiwa membaca ayat-ayat cintaNya, berlinangan air mata mengenangkan cinta Rasulullah pada kita. Demi cinta, segalanya sanggup dilakukan. Lihatlah bagaimana cinta para sahabat. Bagaimana mereka sanggup bergadai harta, masa dan tenaga malah nyawa demi Rasullulah dan Allah. Mampukah diri yang hina ini berbuat demikian?
Bersempena 12 Rabiulawal yang baru sahaja berlalu, marilah para saudaraku. Kita mengenang jasa dan pengorbanan insan yang mencintai kita. Marilah kita mengenang bagaimana pengorbanan 1400 tahun lalu yang membolehkan kita mengenal apa erti cinta sejati. Tanyakan pada diri kamu “Jika kamu diberi peluang untuk duduk bersendirian bersama Rasulullah, apa yang akan kamu katakan pada baginda?”.
Nukilan hati pada “si dia”
Aku jatuh hati padamu bukan kerana hartamu
Aku jatuh hati padamu bukan kerana kau keluarga diraja
Aku tertarik padamu kerana wajahmu yang suci
Aku jatuh hati padamu kerana agama yang kau miliki
Namun hati ini gusar, apakah pandangmu terhadapku
Jadi kuperbaiki diriku sebagai persediaanku
Untuk menjadikan kamu sebagai sayap kiriku
Untuk mencari keredhaan yang Satu
Akanku perkukuhkan keimananku
Agar dapat kuperangi hawa nafsu
Namun aku hanya seorang lelaki biasa
Yang bisa tersunggur dengan godaan dunia
Ya Allah ya Tuhan kami,
Jika kami Kau takdirkan bersama
Satukanlah hati kami di jalan yang Kau redhai
Agar kami dapat membina
Sebuah keluarga yang Kau berkati
0 comments:
Post a Comment