Featured Article

Monday, November 21, 2011

jealousy is a gift


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang masih berterusan berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, jari-jemari ini menaipkan rasa syukur di hati kerana masih diberikan kesempatan untuk mencoret bicara hati di sini. Juga tak lupa, bersyukur kerana diberikan nikmat IMAN dan ISLAM, dua nikmat terbesar dalam hidup seorang MUSLIM. Seperti yang pernah diperingati dahulu, blog ini adalah luahan hati. Andai ada kesilapan, tegurlah. Kerana yang baik itu semua dariNya, yang kurang itu kerana kelemahan diri ini sendiri.

Kali ini terdetik untuk menulis bicara cemburu. Apabila bercakap soal cemburu, kebiasaannya orang akan menuduh yang wanita itu lebih cenderung untuk berasa cemburu. Malah, banyak juga kisah-kisah sejarah yang mencatatkan perasaan cemburu seorang wanita. Misalnya, perasaan cemburu isteri Rasulullah iaitu Aisyah kepada madu-madunya. Malahan, dicatat di dalam hadis yang Aisyah terlalu mencemburui Khadijah yang telah lama meninggal dunia apabila Rasulullah masih berterusan menyebut namanya.

Namun, janganlah dilupa bahawa lelaki juga mempunyai perasaan cemburu. Tidak percaya? Antara kisah-kisah cemburu seorang suami ang dicatat dalam sejarah:

Kisah 1 – Umar yang mencemburui isterinya
Umar al-Khattab pernah mencemburui isterinya yang pergi keluar ke masjid untuk solat berjemaah. Daripada riak wajahnya, isterinya tahu bahawa Umar cemburu. Lalu isterinya berkata “Andai kanda melarang, dinda tidak akan pergi.” Umar hanya diam sahaja kerana teringat pesan kekasih Allah yang bermaksud, “Janganlah kalian menghalang para wanita pergi ke masjid.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud)

Kisah 2- Rasulullah yang mencemburui Mariah al-Qibtiyya
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abdul Rahman Syamasah al-Mahri daripada Abdullah bin Umar, ketika Mariah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat keluarganya dari Mesir sering menziarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersama. Rasulullah pun berasa cemburu dan keluar dengan riak wajah yang berubah. Kemudiannya, baginda bertembung dengan Umar. Apabila Umar perasan yang Rasulullah memendam sesuatu, lantas ditanya kepada baginda. Lalu Rasulullah menjawab yang baginda cemburukan kerabat Mariah.

Umar lalu menghunus pedangnya dan mencari lelaki tersebut. Lelaki itu menyingkap keadaan zakarnya yang telah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya lalu kembali kepada Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah dating kepadaku dan melepaskan Mariah dan kerabatnya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Maka, lihatlah wahai dunia. Lelaki soleh juga boleh cemburu. Kerana cemburu itu sifat fitrah seorang manusia tanpa mengira jantina. Baik lelaki ataupun perempuan. Bukankah cemburu itu tanda sayang? Apabila menyayangi pasangan, pasti terbit rasa cemburu itu. Cemburu itu fitrah, namun janganlah cemburu buta dan melampau. Ia hanya akan menyakiti diri anda dan pasangan. Cemburu itu tidak salah, tetapi menjadi kesalahan apabila dilayan dengan emosi yang melulu.

Pernah terjadi di hadapanku sendiri yang mana melihat seorang kawan perempuanku sedang bermain bowling bersama teman lelakinya. Pada awal kuperhatikan, teman lelakinya begitu hebat bermain bowling kerana setiap balingannya akan menjatuhkan sekurang-kurangnya 7 pin. Namun, setelah aku menegur kawan perempuanku itu, kuperhatikan balingannya mula merosot, secara mendadak sehingga ada balingan yang memasuki longkang. Aku mula tertanya-tanya mengapa. Dan apabila aku pulang ke kampus, dan melihat kawan perempuanku online, aku pun bertanya kepadanya. “Kenapa pakwe kau awal-awal hebat je baling? Aku tengok 7-8 pin sekali baling. Tapi lepas aku tegur kau, terus longkang?”. ”Dia JELES kau tegur aku.”

Mudahnya jawapan dia. Salahkan aku pulak? Haha. (Jangan marah. Gurau je.) Nampak kan? Sedangkan lelaki soleh seperti Rasulullah dan Umar sendiri cemburu, apatah lagi kami lelaki yang hidup di akhir zaman ini.

Kepada pasangan yang telah berkahwin, sedang bercinta, on-the-way bercinta, fahamilah bahawa lelaki ataupun perempuan akan mencemburui. Jadi terpulang kepada kebijaksaan sendiri untuk berusaha mengelakkan pasangan berasa cemburu. Dan bagi yang mudah merasa cemburu, bukanlah diri ini melabel anda tidak sporting, tetapi bijaklah juga mengawal perasaan itu. Saya tahu anda menyayangi pasangan kamu itu, namun pandulah perasaan itu dengan rasional, bukan emosi semata-mata.

Tuesday, November 15, 2011

Life is a Choice


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera aku dahulukan kepada para pembaca yang masih sudi berkunjung ke blog yang serba kekurangan ini. Ribuan terima kasih diucapkan. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Ilahi atas rezeki yang diberikan pada hari ini, masih diberi kesempatan untuk bernafas dan beribadah kepadaNya.

Terlalu lama rasanya aku menyepi daripada menulis di sini. Merindui saat menulis hungga ke akhir ayat. Kerana sepanjang tempoh “kehilangan” ini, aku tidak mampu untuk menulis apa-apa kerana tiada idea yang tercetus. Kali ini terdetik untuk menulis tentang pengalaman yang diperoleh semasa Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) yang baru berlangsung beberapa hari lepas. Begitu banyak pengalaman yang terjadi yang akan menjadi guru yang terbaik untukku. Moga sahabat-sahabat terus berjuang dalam keluarga IN-SMARTIVE.

Antara pengalaman yang diperoleh ialah berani mengambil risiko dalam keputusan. Para peserta diberikan 2 botol air besar, 5L sebagai barang amanah dan arahan yang diberikan ialah “Kami tidak suruh anda minum, dan kami tidak melarang anda minum”. Ayat tersebut “mencabar” psikologi para peserta untuk mengambil risiko-risiko tertentu dalam membuat keputusan. Mungkin mereka tidak nampak pentingnya langkah tersebut sehinggalah saat “air mata menitis”. Diharapkan dengan keputusan kami (Yien dan Khaliq), dapat mendidik adik-adik mengambil risiko.

Tatkala berakhirnya program tersebut, terlintas sepotong ayat yang pernah dinyatakan seseorang kepadaku “YIEN DAH BUAT KEPUTUSAN. DALAM SETIAP KEPUTUSAN PASTI AKAN ADA YANG TERLUKA.”. Itulah lumrah kehidupan. Kita sentiasa berjuang dengan keputusan yang perlu dibuat. Nak masuk sekolah biasa atau MRSM? Nak pakai baju hitam atau merah? Seandainya keputusan antara pilihan yang mudah, kita boleh membuat keputusan dengan sekelip mata. Namun, jangan pernah menafikan, akan ada masanya kita perlu membuat keputusan yang bakal menyakitkan diri sendiri ataupun orang lain.

Kita mungkin boleh berusaha untuk mendapatkan situasi menang-menang, tetapi kemungkinan tersebut kadang-kala terlalu tipis, terutamanya apabila melibatkan perasaan orang lain. Hati ini tidaklah sebaik seorang yang penting untukku yang mana dia sanggup mengalah dan mengorbankan perasaan sendiri asalkan perasaan orang lain terjaga. BIAR DIRI SENDIRI TERLUKA ASAL ORANG LAIN BAHAGIA. Aku bukan seperti insan itu. Walaupun tidak aku nafikan kadang kala aku juga membuat keputusan yang membahagiakan orang lain tetapi menyeksa perasaanku. Huhu.

Itulah realiti dunia, membuat keputusan yang kadang kala menyakitkan perasaan. Dan itu jugalah antara keputusan yang paling aku benci untuk buat. Apabila melibatkan pemilihan orang-orang yang aku sayangi. Itulah sebabnya seseorang juga pernah mengingatkanku, “pilihlah jalan kehidupan yang membuatkan kamu bahagia.”.

Ya Allah,
aku bukanlah insan yang kuat apabila berdepan dengan pilhan yang sukar sebegini
namun, andai inilah yang terbaik untuk aku mendekatiMu,
akan kucuba untuk menerimanya dengan hati yang redha

Monday, October 17, 2011

Melukai dan dilukai


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang masih sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, saat ini kita masih diberikan peluang untuk terus bernafas di bumi Allah, pada awal pagi kita bangun, masih diberi peluang untuk membuka mata, mendengar “jeritan” jam loceng yang mengejutkan kita. Juga tak lupa, masih diberikan nikmat ISLAM dan IMAN. Alhamdulillah.

Dalam kehidupan sebagai seorang manusia biasa pasti kita akan menempuh pelbagai pengalaman kehidupan. Sedangkan Allah sendiri menguji kekasihNya, apatah lagi kita yang hanya sekadar hamba biasa ini. dan salah satu pengalaman kehidupan, pastinya melukakan hati orang lain.

Mustahil dalam hidup ini, mustahil dalam sepanjang hidup kalian, kali tdak pernah melukakan hati sesiapa. Hati kedua ibu bapa kita, hati adik beradik kita, hati jiran tetangga kita, hati para sahabat kita, hati kekasih kita (bagi yang ada). Hatta, suami isteri juga kadang kala sering terluka. Apatah lagi kesilapan kita dengan yang Maha Pencipta.

Malah, hati kita sendiri pernah terluka dengan apa yang orang lain buat pada kita. Kata-kata mengguris hati yang dilepaskan, tudingan kesalahan yang tidak semena-mena, cacian dan hinaan yang dilontarkan pada kita, pada orang yang kita sayang. Pasti perkara ini akan membuatkan kita sangat terasa dengan tindakan mereka.

Ada suatu kisah yang mungkin boleh diambilkan ikhtibar. Pada suatu hari, ketika seorang guru sedang mengajar, ada seorang pelajar tertidur. Dan apabila cikgu tersebut menengking pelajar tersebut,pelajar tersebut terasa hati dengan guru tersebut dan menulis perkara yang memalukan terhadap guru tersebut dan telah menjatuhkan maruah guru tersebut. Semenjak daripada kejadian tersebut, guru berkenaan enggaan lagi melihat pelajar tersebut di dalam kelasnya. Pelajar tersebut sama ada keluar daripada kelas ketika slot dia mengajar atau dia tidak akan mengajar kelas tersebut lagi. Namun, walaupun setelah pelajar tersebut keluar daripada kelas, cara pengajaran dan layanan terhadap pelajar lain juga berubah. Seolah-olah beliau mengabaikan pelajar lain.

“Kita boleh benci perilaku buruk seseorang tetapi masih perlu berlaku adil” – petikan dialog filem Ayat-ayat Cinta. Apakah wajar seorang guru berbuat demikian? Anda lebih bijak untuk menilai. Dan andainya kejadian tersebut diperhebohkan lagi, apakah mungkin jika guru tersebut berniat “mengharamkan” ilmu yang disampaikan kepada pelajar-pelajar lain? Apakah wajar andai kita telah menyampaikan ilmu kepada C, tetapi kerana kesalahan B (B adalah orang terdekat dengan C) terhadap kita, kita akan mengharamkan ilmu yang kita sampaikan kepada C? Bukankah itu tidak adil?

Dan kadang kala dalam kehidupan kita pula yang asyik buat orang terluka dengan tindakan kita. Walaupun kadang kala kita cuma ingin berdiri pada pihak yang benar, tetapi kita yang dipersalahkan. Keadaan ini kebiasaannya terjadi apabila kita tersepit antara dua pihak. Demi menjaga pihak yang lebih dekat dengan kita, kita akan bersikap agresif dengan pihak lagi satu, walaupun pihak yang dekat dengan kita itu yang melakukan kesilapan. Kebiasaannya pengurusan sebegini yang mempunyai banyak masalah.

Saya juga manusia biasa, sama seperti kalian semua. Terlalu banyak hati yang telah saya lukakan. Orang yang saya sayangi dan orang yang menyayangi saya. Namun, saya pernah diberi nasihat, cubalah pertahankan pihak yang benar walaupun terpaksa berperang dengan pihak yang kita sayangi. Rasulullah sendiri pernah menyatakan "Demi Allah! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, pasti akan kupotong tangannya." (Riwayat Bukhari)

Akhir kata, kita pasti pernah melukakan hati orang lain kerana kita hanyalah manusia biasa yang penuh dengan kesilapan, bukannya malaikat yang sentiasa dengan kebaikan. Jadi, tundukkanlah egomu apabila kamu melakukan kesalahan dan memohon maaf kepada mereka. InsyaAllah mereka akan memaafkanmu. Dan jika mereka tidak memaafkanmu, janganlah kamu melakukan perkara tersebut pada orang lain.

Powered by Blogger.

Popular Posts